
BANGI: Himpunan Mandat Negarawan (Demi Tanah Air Tercinta) akan diadakan pada 17 Julai ini di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah yang bakal menampilkan tokoh negarawan termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemilihan lokasi tersebut dibuat kerana ia merupakan negeri kelahiran negarawan berkenaan, yang pernah menyandang jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali.
“Pada tarikh 17 Julai itu, umur beliau adalah 100 tahun tujuh hari. Beliau merupakan satu-satunya negarawan yang mencecah usia 100 tahun. Beliau akan menjadi watak utama di dalam himpunan ini,” katanya kepada media, di sini hari ini.
Tokoh lain dijadualkan hadir termasuk Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Himpunan tersebut dijadualkan bermula pada jam 7 malam dan akan diisi dengan pelbagai pengisian keagamaan, antaranya solat Maghrib berjemaah, bacaan surah Yaasin, doa selamat serta solat Isyak berjemaah.
Sementara itu, satu lagi himpunan iaitu Himpunan Kebangkitan Rakyat ‘Turun Anwar’ akan diadakan pada 26 Julai bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Jelas beliau, sebanyak lima tempat berkumpul akan ditetapkan mengikut negeri-negeri bagi memudahkan pergerakan peserta yang menyertai himpunan berkenaan.
Tempat berkumpul pertama ialah di Dataran SOGO, yang dikhaskan untuk peserta dari Kelantan, Terengganu dan Pahang, sementara Masjid Jamek Kampung Baru pula ditetapkan untuk peserta dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“Tempat ketiga adalah di Masjid Jamek Kuala Lumpur di mana tempat ini kita khaskan untuk yang hadir daripada negeri selatan iaitu negeri Sembilan, Melaka, Johor serta Sabah, Sarawak.
“Kemudian kita tempatkan kawasan khusus untuk anak-anak muda yang tidak berparti, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), NGI (tokoh individu), influencers, mahasiswa, mahasiswi di Pasar Seni.
“Tempat terakhir ialah di Masjid Negara untuk rakyat dari Selangor dan juga Wilayah Persekutuan. Jadi arahan kita pada pukul 2 petang, semua rakyat jelata yang berkumpul ini akan bergerak ke lokasi himpunan utama,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2025











