
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap laporan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights pada April lalu.
Beliau menyifatkan laporan tersebut dibuat dengan tergesa-gesa dan menimbulkan pelbagai persoalan, termasuk tindakan pihak berkuasa yang dilihat terlalu cepat membuat kesimpulan.
“Saya tak puas hati langsung. Ada sesuatu yang sangat mencurigakan kerana tak logik untuk buat kesimpulan secepat ini. Bila kita baca laporan itu, perkara asas seperti memanggil pihak PETRONAS, misalnya tidak dilakukan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Menurutnya, PETRONAS sebagai pemilik rangkaian paip sepatutnya dirujuk, memandangkan laporan geoteknikal berkaitan struktur tanah dan keselamatan di kawasan terbabit perlu ada sebelum pemasangan paip dijalankan.
Beliau berkata, sebelum kejadian letupan berlaku, sudah terdapat pelbagai laporan di media dan pengesahan daripada polis mengenai kewujudan kerja-kerja fizikal di kawasan larangan yang berpotensi mengundang risiko.
“Rakyat ingin tahu apa sebenarnya yang mencetuskan letupan itu. Bagaimana proses kelulusan kerja-kerja di kawasan tersebut dilakukan? Adakah PETRONAS, diminta memberi ulasan berhubung permohonan kerja di situ?” soalnya.
Ahmad Amzad turut membandingkan Malaysia dengan Jepun di mana mempunyai lebih 70,000 kilometer (km) rangkaian paip gas di dalam bandar bahkan negara itu bukan setakat ‘tanah lembik’ mereka tinggal di atas rangkaian gunung berapi yang sentiasa ada gempa bumi.
“Malaysia ni rangkaian paip gas sekitar 2,600 km rentas beberapa negeri disalurkan dari bumi Terengganu. Tiba-tiba meletup di Putra Heights kerana ‘tanah lembik’?
“Masa pasang paip tak ada laporan geoteknik ke?, Mesti PETRONAS buat sema tu. Tak buat soil boring test ke? GIS Overlay and Hazard Zoning?” soalnya.
Ahmad Amzad turut mempersoalkan tindakan polis yang dikatakan tiba-tiba mengklasifikasikan laporan berkaitan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Saya rasa isu ini tidak sepatutnya terhenti di sini. Penjelasan yang lebih terperinci perlu diberikan agar rakyat mendapat gambaran sebenar,” katanya lagi.
Untuk rekod, dalam kejadian kebakaran tersebut sebanyak 81 rumah di kawasan itu musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus manakala 81 peratus separa musnah, 57 peratus rumah terkesan, tetapi tidak terbakar manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong. – HARAKAHDAILY 12/7/2025











