
HULU TERENGGANU: Terengganu bakal muncul sebagai hab tenaga hijau serantau menerusi peluncuran Projek Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau yang berlangsung di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, Tasik Kenyir hari ini.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan projek berkenaan sebagai langkah penting dalam transformasi sektor tenaga negara ke arah sumber yang lebih lestari dan bersih.
Beliau berkata, projek yang melibatkan kerjasama strategik antara TNB Genco, PETRONAS dan Terengganu Inc itu merangkumi pembangunan ladang solar terapung berkapasiti sehingga 2,500 megawatt (MW) di atas permukaan air Tasik Kenyir.
“Majlis ini melambangkan satu paradigma baharu dalam pendekatan kita terhadap pembangunan tenaga yang lestari, inovatif, dan futuristik di peringkat nasional, terutamanya apabila ia melibatkan kerjasama erat antara Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri.
“Projek ini merupakan antara cadangan pembangunan tenaga boleh baharu paling berskala besar di Asia Tenggara,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut. Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, projek itu turut menggabungkan teknologi Hidro Hibrid dan seterusnya menjadi pemacu utama kepada pembinaan Hab Hidrogen Hijau pertama di negeri ini.
“Langkah ini adalah usaha dalam meneroka sumber tenaga bersih generasi baharu selari dengan agenda nasional dan global untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR),” katanya.
Ahmad Samsuri menggesa semua pihak yang berkepentingan bekerjasama erat dalam membangunkan keseluruhan rantaian nilai Hidrogen Hijau bermula daripada pembangunan kemudahan Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) Kenyir, pengeluaran hidrogen hijau hinggalah kepada pemprosesan derivatif hidrogen hijau yang akan menjadi asas kepada ekonomi rendah karbon negara.
Katanya lagi, projek Solar Terapung Hidro Hibrid yang diluncurkan hari ini merupakan teknologi yang menggabungkan sistem solar fotovoltaik terapung dengan sistem hidroelektrik sedia ada dalam satu operasi terintegrasi.
“Sistem ini menawarkan beberapa kelebihan yang signifikan antaranya memaksimumkan ruang permukaan air untuk janaan tenaga tanpa menjejaskan tanah pertanian, sambil meningkatkan kecekapan panel melalui penyejukan semula jadi dan mengurangkan penyejatan air.
“Reka bentuk hibrid ini juga memberikan fleksibiliti operasi dan kestabilan bekalan tenaga hidro bagi menampung kekurangan ketika cahaya suria terhad, manakala solar mengurangkan beban turbin semasa kemarau serta menjamin janaan bersih yang konsisten dan mampan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, peluncuran Hab Hidrogen Hijau juga menandakan era baharu ekonomi hidrogen Malaysia dalam menghasilkan vektor tenaga bersih melalui elektrolisis air bertenaga boleh baharu sehingga mampu menyimpan tenaga jangka panjang dan menyelesaikan isu intermittensi.
“Dengan aplikasi meluas daripada industri berat sehingga kepada sektor pengangkutan serta kos pengeluaran yang kompetitif disebabkan sumber pelbagai di Terengganu, Malaysia kini bersedia menjadi peneraju pembekal hidrogen hijau di Asia Tenggara,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman yakin Terengganu mempunyai kelebihan tersendiri seperti lokasi geostrategik, integrasi logistik melalui ECRL, tanah yang luas serta sumber asli yang kaya untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam tenaga hijau.
“Kerajaan negeri yakin, melalui kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan, para pelabur, penyelidik dan komuniti, kita bukan sekadar menunaikan janji, bahkan kita sedang membina legasi, mengangkat Malaysia menjadi contoh hab tenaga lestari serantau dan memastikan usaha ini bakal di nikmati generasi akan datang.
“Dengan Projek Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau di Tasik Kenyir ini, kita melakar langkah pertama menuju masa hadapan yang lestari dan menjadikan Terengganu hab tenaga hijau serantau.
“Semoga inisiatif ini diberkati dan menjadi legasi berpanjangan untuk generasi kini dan akan datang. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2025











