Pelajar perlu cintai ilmu, bentuk kepimpinan diri

- Advertisement -

KANGAR: “Kepimpinan sejati bukan sekadar jawatan atau gelaran, sebaliknya berlandaskan akhlak, kebijaksanaan dan amanah kepada ummah,” titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

- Advertisement -

Baginda ketika berkenan menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Jaafar Hassan, di sini semalam.

Setiap pemimpin hebat titah baginda, bermula sebagai seorang pelajar yang berdisiplin, menghormati guru, menyantuni rakan dan sentiasa merendah diri dalam menuntut ilmu.

“Sikap ini membentuk asas kukuh bagi melahirkan pemimpin masa depan yang bukan sahaja cerdas akal fikirannya, malah jernih akhlaknya,” titah baginda.

Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu melibatkan seramai 456 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3, merangkumi 226 lelaki dan 230 perempuan.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rose Aza Che Arifin dan Pengetua SMK Dato’ Jaafar Hassan, Euw Mooi Guik, serta Setiausaha Kehormat YTSP, Datuk Johari Mohd Darus dan Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Dalam ucapannya, Mooi Guik berkongsi pelbagai kejayaan yang dicapai oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut.

Antaranya, Jeff Jetrin Boon yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dan dinobatkan naib johan NILAM Bahasa Inggeris Zon Utara.

Najla Nur Arsyu Alya muncul naib johan Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) Bahasa Melayu 2025, sementara Muhammad Adam Darwisy pula naib johan Mimbar Daie Lelaki Peringkat Utara.

Dalam kokurikulum, pelajar Jitipong Pra Pom mewakili Perlis dalam kejohanan berbasikal kebangsaan dan antarabangsa, manakala pasukan frisbee lelaki dan perempuan menduduki tempat ketiga dalam Johor Youth Ultimate Open (U17).

Muhammad Iwadh Shafiy turut menyertai Jambori Pengakap Malaysia dan program di bawah Integrated University Management System (IUMS).

Manakala asrama sekolah pula meraih naib johan Karnival Seni Budaya Asrama 2023, manakala Program EAA memperlihatkan kejayaan dari aspek sahsiah dan kehadiran murid yang konsisten.

Kecemerlangan turut dikongsi oleh pelajar Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah, sementara Muhammad Haikal Rashid muncul juara Merentas Desa Pendidikan Khas MSSPs dan kini menjalani latihan ke Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

Isma Ammar Danial pula meraih tempat ketiga Malaysia IT Challenge 2025, dan pasukan futsal wanita PPKI dinobatkan naib johan Liga Sukan OKU (LISOKU) Peringkat Negeri.

Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan merasmikan SMK Dato’ Jaafar Hassan Showcase Studio, satu inisiatif khas sekolah bagi mempamerkan hasil kerja dan projek terbaik murid setiap bulan.

Inisiatif ini menyokong pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) dan selari dengan pelaksanaan Transformasi Sekolah 2025 (TS25).

Majlis ini bukan sekadar menjadi wadah motivasi pelajar, tetapi turut memperkukuh sinergi antara institusi diraja, pendidikan dan komuniti dalam membina generasi pemimpin masa hadapan yang berilmu, berintegriti dan berjiwa besar. – HARAKAHDAILY 12/7/2025

- Advertisement -