
ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn Bhd, komited perkukuhkan sistem perkhidmatan bekalan air demi kesejahteraan rakyat Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SADA, Radzuan Osman berkata, sebagai sebuah entiti milik kerajaan negeri, SADA meletakkan tanggungjawab sosial sebagai teras utama dalam melaksanakan fungsi selaku operator perkhidmatan bekalan air terawat di negeri ini.
“Pendapatan yang diperolehi daripada kutipan bil utiliti bukanlah semata-mata untuk meraih keuntungan perniagaan. Sebaliknya untuk memastikan SADA mempunyai dana yang mencukupi.
“Terutama untuk terus beroperasi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Kedah tanpa gangguan modal dan kos,” kata beliau pada kenyataannya di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, tegas Radzuan, kenaikan kos operasi adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan terutama untuk melaksanakan kerja membaik pulih dan menaik taraf kelengkapan infrastruktur yang sudah terlalu lama.
Beliau berkata, berikutan kos yang sangat tinggi diperlukan untuk menggantikan sistem paip yang uzur, ia sering menjadi halangan kepada SADA dan juga syarikat operator lain untuk memberi perkhidmatan yang cekap, terbaik dan berkesan.
“Paip-paip yang lama jika terus digunakan akan meningkatkan risiko berlakunya gangguan bekalan air dan berlaku tekanan air rendah di premis pengguna yang berpunca daripada kebocoran paip,” ujarnya lagi.
Jelasnya, menyedari akan permasalah itu, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di bawah Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR) telah menekankan keperluan untuk mengukuhkan struktur kewangan syarikat pengendali bekalan air.
Hal itu ujarnya, bagi menjamin kecekapan perkhidmatan kepada pengguna dalam usaha mencapai sasaran mengurangkan kadar air tidak terhasil atau ‘Non-Revenue Water’ (NRW) kepada 10 peratus menjelang tahun 2040.
Berikutan itu, Radzuan juga menegaskan SADA bersama syarikat operator bekalan air terawat di sembilan negeri lain telah mengemukakan usul kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyemak semula kadar tarif air di 10 negeri termasuk Kedah.
“Langkah ini diambil atas dasar keperluan dengan meletakkan kepentingan pengguna sebagai keutamaan, iaitu memastikan bekalan air terawat dapat terus disalurkan tanpa terjejas,” tambahnya lagi.
Selain itu, menurutnya, kajian yang mendalam telah dilakukan untuk memastikan keputusan semakan kadar tarif ini jika dilaksanakan tidak membebankan pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Sebagaimana yang telah dijelaskan di awal tadi, tujuan permohonan semakan ini bukanlah bermotif keuntungan melainkan untuk memastikan SADA memiliki dana yang mencukupi untuk kelangsungan operasi dan memenuhi keperluan masyarakat dalam tempoh jangka masa panjang.
“Langkah ini juga mencerminkan komitmen bersama kerajaan negeri dan persekutuan dalam menyelesaikan isu berkaitan masalah air demi kesejahteraan rakyat,” ulas beliau.
Justeru, katanya, menjadi harapan SADA, agar semakan itu diluluskan oleh kerajaan dan difahami tujuannya, sekali gus diterima dengan hati yang terbuka oleh semua pihak.
Dalam pada itu, ujar beliau, SADA akan sedaya upaya mengusahakan langkah yang terbaik kerana mereka juga adalah sebahagian daripada warga negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 11/7/2025











