
PUTATAN: Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr. Mohd Afifi Shaiffuddin, menegaskan komitmennya untuk membawa pendekatan politik yang berteraskan ‘Berprinsip, Aman, Ikhlas dan Konsisten (BAIK) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 nanti.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik seruan akronim BAIK itu sebuah pendekatan politik solusi menekankan agar ahli politik tampil dengan integriti dan nilai perjuangan yang jelas.
Menurutnya, ia selaras dengan aspirasi rakyat Sabah yang semakin matang menilai arah perjuangan pemimpin mereka.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berhubung politik BAIK itu merupakan misi serta objektif di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.
“Saya akan bawa politik yang sangat berprinsip dalam perjuangan ini, iaitu yang hak kita kata hak, yang salah kita kata salah,” kata Dr Aliakbar yang juga Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri.
Justeru, kata Dr Afifi, beliau melahirkan keyakinan keempat-empat nilai itu menjadi panduan untuk berpolitik secara sihat.
“Saya yakin, keempat-empat nilai ini berprinsip, aman, ikhlas dan konsisten bukan sahaja menjadi panduan untuk berpolitik secara sihat, tetapi juga menjadi kunci untuk membina kepercayaan rakyat yang telah lama kecewa dengan politik retorik,” ujarnya ketika ditemui dalam siri ziarah penduduk DUN Tanjung Keramat, semalam.
Menurut beliau, pendekatan berprinsip bermaksud setiap pendekatan perlu selari dengan nilai Islam dan keadilan sejagat, tidak melompat parti setelah menang demi kepentingan politik peribadi.
Tambahnya, politik aman harus menolak politik yang berasaskan sentimen melampau, perpecahan, atau permainan persepsi yang melemahkan masyarakat.
Katanya lagi, nilai keikhlasan dalam memberi khidmat kepada rakyat adalah asas utama dalam setiap gerak kerja, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun fahaman politik yang pelbagai.
“Nilai konsisten pula adalah jaminan bahawa perjuangan ini bukan bersifat bermusim, tetapi dilaksanakan sepanjang masa, dalam apa jua keadaan,” ujarnya.
Dr. Afifi yang juga dikenali sebagai aktivis masyarakat dan tokoh pengamal perubatan di Putatan, menyifatkan PRN akan datang sebagai medan untuk mengangkat politik nilai, bukannya politik peribadi, untuk kesejahteraan rakyat di kawasan ini khususnya. – HARAKAHDAILY 11/7/2025











