
SRI LANKA: PAS melalui Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar telah mengadakan lawatan rasmi ke Jamaat Islami Sri Lanka sebagai kunjungan balas memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua gerakan Islam ini.
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi mengetuai delegasi PAS bertemu Ketua Jamaat Islami Sri Lanka, Ash-Sheikh M H M Ussair Islahi.
Jamaat Islami Sri Lanka diasaskan pada tahun 1954 oleh Jailani Sahib seorang peniaga Muslim dari selatan India yang mendapat pendidikan daripada Maulana Abu Al’ala al-Maududi.
Gerakan Islam tunggal di Sri Lanka ini bergerak secara rasmi sebagai pertubuhan kebajikan masyarakat dalam bidang pendidikan, kemahiran dan dakwah.
Fokus utama aktivitinya adalah pemangunan komuniti Islam yang merupakan penduduk minoriti iaitu sekitar 10 peratus daripada 22 juta rakyat Sri Lanka, terdiri daripada etnik Moor dan Melayu.
“Mudah-mudahan kunjungan ini akan terus merapatkan hubungan ukhuwah Islamiah dan kerjasama dakwah antara PAS dan Jamaat Islami Sri Lanka,” ujar Khalil yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu.
Dua bulan lalu delegasi Jamaat Islami Sri Lanka mengadakan kunjungan ke Malaysia bertemu dengan PAS di Kelantan dan Terengganu. – HARAKAHDAILY 11/7/2025












