
ARAU: Kerajaan Negeri Perlis menegaskan komitmen padu untuk membentuk masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berpegang teguh kepada ajaran Islam berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, syariah dan akhlak harus dijadikan pegangan utama masyarakat Islam.
“Pada awal tahun ini, kita mulakan dengan kempen ‘Nak Tenang Nak Bahagia, Jom Baca al-Quran’. Kita telah ambil inisiatif ini dengan memulakan pembacaan al-Quran sebelum bermula majlis Perhimpunan Penjawat Awam,” katanya.
Perkara tersebut dinyatakannya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis 2025 di Dewan Auditorium PULAPEN, Pusat Koreksional Perlis, di sini baru-baru ini.
Beliau turut menegaskan bahawa peraturan-peraturan pencegahan seperti penutupan premis judi, pengharaman penjualan vape, serta larangan hiburan melampau akan terus dikuatkuasakan demi kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya lagi, pegangan terhadap Sunnah Nabi Muhammad SAW tidak boleh sekadar menjadi slogan, tetapi perlu dizahirkan dalam kehidupan seharian.
“Setiap amalan agama mesti menepati ajaran Allah dan Rasul-Nya serta para Sahabat RA. Ia perlu bersandarkan dalil yang sah menurut syarak dan menjauhi unsur syirik serta khurafat,” tegas beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu juga menekankan kepentingan membina masyarakat bertamadun menerusi amalan kebersihan dan gaya hidup sihat.
Katanya, frasa seperti ‘Kebersihan Sebahagian Daripada Iman’ dan ‘Menjaga Kebersihan Amalan Mulia’ hendaklah diterjemahkan melalui perbuatan individu.
Beliau turut menyeru agar budaya kesantunan dalam melayan tetamu diterapkan sebagai identiti rakyat Perlis.
“Dalam peristiwa Hijrah Nabi SAW, penduduk Madinah menyantuni golongan Muhajirin dengan penuh kasih sayang dan nilai persaudaraan.
“Amat wajar untuk kita mengambil apa jua inisiatif yang baik dengan melayan tetamu yang bertandang ke negeri Perlis yang permai lagi menawan ini agar ia menjadi destinasi yang bukan sahaja sejuk di mata, tetapi dekat dihati,” ujarnya.
Beliau menyeru rakyat melakukan penghijrahan minda dengan membebaskan diri daripada kejumudan, kejahilan dan kemalasan kepada pemikiran terbuka.
Juga serunya supaya bersikap rajin berusaha dan cerdas mencetuskan idea demi pembangunan negeri yang berteraskan keimanan kepada Allah SWT.
Majlis Maal Hijrah 1447H/2025M disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail. – HARAKAHDAILY 6/7/2025











