
KULIM-BANDAR BAHARU: Keringnya hubungan dengan Allah, melazimi maksiat dan tenggelam dalam keegoan merupakan antara pantang besar yang perlu dijauhi oleh seorang daie.
Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Kedah, Ustaz Hanif Ghazali memberi peringatan itu dalam tazkirah Subuh sempena Retreat PAS Negeri Kedah 2.0 di Sedim, di sini kelmarin.
Mengupas 10 pantang utama pendakwah seperti pernah dihuraikan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man beliau berkata, pentingnya hubungan utuh dengan Allah dalam kehidupan seorang daie.
“Jangan hanya gagah di pentas, tetapi longlai hubungan dengan Allah,” ujarnya, sambil menegaskan bahawa kebergantungan kepada Allah adalah asas kekuatan sebenar seorang pejuang dakwah.
Menurutnya lagi, apabila seseorang daie mula menjauhkan diri daripada Allah, terbiasa dengan maksiat dan merasa megah dengan jawatan serta kuasa, maka keberkatan dalam perjuangannya akan mula luntur.
“Lebih membimbangkan apabila ada yang terlalu mengejar dunia, mudah terjerumus dalam perkara syubhah, tidak bersungguh dalam perjuangan dan culas terhadap amanah rumah tangga,” katanya.
Ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, ukhuwah sesama ahli jemaah perlu dipelihara serta jangan melakukan kezaliman.
Permukiman selama dua hari satu malam bermula 3 Julai itu diadakan di Pusat Latihan dan Rekreasi Yayasan Kedah Sejahtera (YKS), Lubok Jong, Sedim, menghimpunkan barisan kepimpinan utama PAS Negeri Kedah.
Meskipun premis latihan itu masih dalam fasa pembinaan, namun kemudahan asas seperti surau, asrama, kafe dan dewan sementara telah dapat dimanfaatkan sepanjang program berlangsung.
Program ini bukan sahaja menjadi ruang rehat dan penyusunan semula strategi gerak kerja, malah berperanan penting dalam memantapkan fikrah serta mengukuhkan roh perjuangan dalam kalangan saf kepimpinan PAS Kedah.
Turut hadir dalam retreat ini ialah Ahli Parlimen dan ADUN PAS Kedah serta barisan Ahli Jawatankuasa PAS Kedah dan jentera kepimpinan parti peringkat negeri.
Majlis penutup disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya yang juga Ketua Ulamak PAS Pusat dan Ahli Parlimen Pokok Sena.
Sebagai simbolik sokongan terhadap pembangunan pusat latihan tersebut, ADUN Belantik, Ahmad Sulaiman mewakili Sekretariat Wakil Rakyat PAS Kedah turut menyerahkan sumbangan meja pingpong kepada pihak pengurusan YKS. – HARAKAHDAILY 6/7/2025











