PEMADAM Kedah dan Terengganu perangi dadah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pertemuan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dua negeri, antara lain membincangkan langkah-langkah berkesan dalam menangani gejala dadah serta merancang strategi pencegahan yang lebih menyeluruh.

- Advertisement -

Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, pertemuan pihaknya bersama delegasi PEMADAM Terengganu yang diketuai Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, menjadi medan memperkenalkan hala tuju, misi serta aktiviti kedua-dua negeri.

“Perbincangan ini juga membuka ruang perkongsian idea bagi memperkasakan program kemasyarakatan berimpak tinggi, demi menyelamatkan generasi akan datang,” kata beliau menerusi hantaran di media sosialnya, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan itu berkata, fokus utama bersama ialah membentuk komuniti cakna dan mewujudkan persekitaran sifar dadah.

Dato’ Ashah yang juga Pengerusi PEMADAM Kedah, turut berbesar hati menerima kunjungan balas hormat daripada PEMADAM Terengganu dalam satu sesi penuh mesra dan bermakna yang diadakan di Wisma Darul Aman, kelmarin.

“Semoga jaringan kerjasama ini menjadi pemangkin kepada gerakan lebih menyeluruh dalam usaha pencegahan dadah di seluruh negara,” kata beliau lagi.

Sementara Dr Muhammad Khalil yang juga Pengerusi PEMADAM Terengganu berkata, pihaknya amat tertarik dengan beberapa pendekatan, perancangan dan strategi pencegahan PEMADAM Kedah yang dikongsi pada pertemuan itu.

“Pendekatan serta perancangan PEMADAM Kedah itu boleh diaplikasikan oleh PEMADAM Terengganu dalam usaha memerangi dadah secara holistik di negeri ini.

“Semoga usaha bersama ini dipermudahkan dan diberkati Allah SWT,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dan juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu itu lagi. – HARAKAHDAILY 6/7/2025

- Advertisement -