
KUANTAN: PAS Pahang menyifatkan pemangkuan dua jawatan tertinggi kehakiman secara serentak oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Dato’ Mohammed Hashim, sebagai satu keadaan luar biasa dan episod hitam dalam sejarah kehakiman negara.
Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan berkata, itu merupakan kali pertama dalam sejarah perundangan negara seseorang hakim memikul beban sedemikian rupa.
“Ini bukan sekadar kegagalan pentadbiran, tetapi isyarat jelas bahawa kita sedang menyaksikan keruntuhan terancang terhadap sistem pemisahan kuasa yang menjadi asas kepada demokrasi Malaysia selama ini.
“Keadaan janggal ini tidak berlaku secara kebetulan. Apabila Perdana Menteri dengan sengaja membiarkan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan kosong selepas tamat tempoh jawatan, ini menunjukkan satu perancangan licik untuk menciptakan kekeliruan dalam sistem kehakiman,” ujarnya dalam kenyataan.
Beliau mempersoalkan sama ada Perdana Menteri sedang cuba mengawal badan kehakiman melalui kekosongan yang disengajakan itu.
“Adakah ini strategi halus untuk memastikan tiada suara bebas dalam mahkamah yang boleh menentang kehendak politik penguasa? Fakta yang paling menggerunkan ialah Perdana Menteri hari ini telah menguasai cabang eksekutif dan legislatif secara mutlak.
“Dengan membiarkan kekosongan dalam cabang kehakiman berlarutan, adakah ini langkah terakhir untuk menyempurnakan cengkaman kuasa ke atas semua tiga cabang kerajaan?” soalnya.
Menurutnya, rakyat kini berhadapan dengan risiko nyata kehilangan sistem semak dan imbang yang selama ini melindungi hak mereka.
“Inilah agenda sebenar, mencipta satu sistem autokrasi yang berselubung demokrasi. Kegagalan ini bukan sekadar isu teknikal pentadbiran, tetapi satu serangan langsung kepada hak rakyat untuk mendapat keadilan.
“Apabila sistem kehakiman dilemahkan melalui kekosongan kepimpinan, siapa yang akan mempertahankan rakyat daripada penindasan? Siapa yang akan memastikan undang-undang ditegakkan tanpa takut atau pilih kasih?” soalnya.
Ustaz Aireroshairi berkata, kelewatan proses perundangan yang pasti berlaku akibat kekosongan itu adalah satu bentuk penafian keadilan yang sistematik.
“‘Keadilan yang lambat ditegakkan, hakikatnya adalah keadilan yang dinafikan’,” tegasnya.
Sehubungan itu, PAS Negeri Pahang katanya mendesak Perdana Menteri agar segera memberi penjelasan mengenai kelewatan pelantikan tersebut serta menafikan sebarang niat campur tangan dalam kebebasan kehakiman.
“Jangan sesekali mengorbankan tonggak terakhir keadilan rakyat demi percaturan politik kotor atau agenda sempit kuasa.
“Rakyat Malaysia sedang memerhati dan mereka tidak akan membiarkan demokrasi dinodai oleh cita-cita kekuasaan yang tidak terkawal!” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2025











