Peranan nuqaba Pemuda PAS Kelantan diperkukuh

- Advertisement -

KOTA BHARU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kelantan terus memperkukuhkan peranan nuqaba dari kalangan Dewan Pemuda PAS Negeri yang menjadi jentera teras yang kental menghadapi pelbagai cabaran bakal mendatang.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Mohd Asri Daud berkata, golongan tersebut mesti menjadikan pergolakan berlaku di Timur Tengah termasuk Palestin sebagai iktibar.

Beliau berkata, pada krisis itu membuktikan stategik dan kekuatan perjuangan umat Islam yang disulami dengan keikhlasan dan semangat jihad yang tinggi, mampu membuahkan hasil tidak dijangka.

“Apa yang penting, nuqabak mesti meletakkan diri mereka dalam kelompok ‘Qaidah Sulbah’ dan ‘Ashab Nafas al-Towil’ iaitu jentera teras dan golongan yang mampu hadapi pelbagai tekanan.

“Dakwah dan segala perancangan akan dapat dijayakan berbekalkan ikhlas dan semangat jihad fisabilillah,” beliau berkata demikian dalam kenyataan menerusi Facebook.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu menyampaikan intipati daripada 10 buah kitab pada Ijtimak Nuqaba Dewan Pemuda PAS Kelantan di Dewan Tok Guru Syabab Point di sini.

Beliau berkata, nuqaba juga perlu mempunyai kesatuan jiwa dan tenaga serta tenang dalam membahaskan persoalan membabitkan perkara perbezaan pendapat dalam masalah cabang agama atau furu’.

Menurutnya perbahasan persoalan sunni dan syiah, perbahasan mazhab dan sebagainya sengaja dibuat musuh agar umat Islam sibuk merungkai isu itu berbanding mempertahankan kepentingan agama.

“Nuqaba mestilah bersatu hati dan sentiasa berlapang dada dalam perkara ‘khilafiah’ serta menjadikan isu Palestin sebagai ‘Rukyah Istratijiyyah’ iaitu sisi pandang berstrategi.

“Hal ini bagi mewujudkan kesatuan umat Islam sejagat ke arah pemerintahan Khilafah al-Rasyidah,” kata beliau yang juga Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta. – HARAKAHDAILY 6/7/2025

- Advertisement -