Ziarah pelajar cemerlang suntik motivasi

- Advertisement -

KALABAKAN: Sebagai usaha menyemarakkan semangat keilmuan dalam kalangan generasi muda, Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah telah mengadakan program ziarah pelajar cemerlang SPM sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu.

- Advertisement -

Program ziarah tersebut menyasarkan pelajar-pelajar lepasan SPM yang mencapai keputusan cemerlang sebagai tanda penghargaan atas usaha gigih mereka.

Selain penyampaian sumbangan, sesi ziarah turut disertai nasihat dan suntikan motivasi agar mereka terus melangkah ke hadapan dalam dunia pendidikan.

“Kalau masih ada ruang dan peluang untuk belajar, sambunglah. Ilmu ini bukan sekadar bawa kita keluar dari susah, tapi ia bawa kita jadi manusia yang tahu erti syukur, tahu dari mana kita datang,” ujar beliau dalam sesi motivasi ringkas bersama beberapa orang pelajar dan keluarga mereka.

Beliau turut menasihati para pelajar agar menjaga ibadah dan berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu supaya kelak mampu menjadi pemimpin masyarakat yang baik.

“Belajar rajin-rajin, jaga ibadah. Bila keluar dari universiti, dapat ijazah, jadilah pemimpin masyarakat yang baik dan bermanfaat,” tambah beliau penuh harapan.

Menurutnya lagi, program ziarah seperti itu bukan semata-mata untuk menyampaikan sumbangan, tetapi lebih dari itu sebagai lambang penghargaan dan sokongan moral daripada masyarakat sekeliling.

“Kadang-kadang kami ziarah begini bukan sekadar datang bawa sumbangan. Tapi datang bawa semangat, datang bagi rasa mereka dihargai. Selain keluarga, ada lagi orang luar yang menghargai usaha mereka,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Sabah.

Program itu merupakan salah satu inisiatif PAS Kalabakan dalam menyantuni masyarakat khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan insan, selaras dengan pendekatan Islam yang mementingkan ilmu sebagai asas kemajuan umat.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan, Norjannah Jam Jam yang sama-sama menyantuni para pelajar dan keluarga mereka serta memberikan dorongan semangat dan nasihat keibuan kepada generasi muda. – HARAKAHDAILY 5/7/2025

- Advertisement -