Isu Ketua Hakim Negara: Wibawa kerajaan dipersoal

Sahar Abdul Majid
- Advertisement -

SANDAKAN: Kelewatan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara merupakan kejadian yang sangat pelik dalam sejarah institusi keadilan dan sistem kehakiman negara.

- Advertisement -

Setiausaha PAS Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, Perdana Menteri bukan tidak tahu tempoh lantikan Ketua Hakim Negara sebelum ini Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan tamat dan bersara wajib pada Rabu, baru-baru ini.

“Ini bukan soal kita melantik ketua kampung atau pengawal keselamatan tapi ini soal kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman dan wibawa sebuah negara berdaulat,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, sebagai sebuah kerajaan adalah sangat tidak wajar berlakunya situasi gawat itu.

“Sewajarnya kerajaan telah ada persiapan awal dengan mengenal pasti senarai calon yang berwibawa dan berintegriti yang boleh memegang jawatan tersebut,” ujarnya lagi.

Selain itu, katanya pelan peralihan sebarang tugas pegawai tinggi awam perlu diwujudkan segera oleh kerajaan terutama melibatkan institusi penting negara.

“Hal ini bagi memastikan tidak berlaku sebarang kelompongan yang boleh menjejaskan kelangsungan pentadbiran kerajaan yang lebih adil,” katanya.

Katanya, harapan rakyat mahu agar institusi kehakiman juga tidak terpalit daripada sebarang pengaruh politik dan kuasa eksekutif pemerintah yang boleh menimbulkan konflik interest dalam proses menegakkan dan melaksanakan keadilan.

“Jangan menambah beban rakyat dengan pelbagai isu kritikal negara dalam keadaan rakyat sedang berdepan dengan bebanan ekonomi keluarga dan isu cukai baharu SST yang baharu dilaksanakan oleh kerajaan Madani,” tegas Sahar lagi. – HARAKAHDAILY 5/7/2025

- Advertisement -