
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad mengingatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya menyedari kedudukan partinya sendiri yang belum kukuh.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu malah menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Pontian yang menyasarkan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang di tiga negeri sedang ditadbir sebagai sekadar angan-angan kosong.
“Tak apa Tok Mat (Ahmad Maslan), angan-angan itu percuma, tak kena cukai SST pun, tak perlu mohon permit. Tapi kalau nak berangan pun, biarlah realistik sikit.
“Jangan duk sembang negeri orang nak tumbang, sedangkan parti sendiri masih tercungap-cungap cari oksigen politik,” ujarnya memberi reaksi
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kedudukan sebenar PN di beberapa negeri membuktikan gabungan itu mempunyai kekuatan yang semakin kukuh dan hanya memerlukan beberapa kerusi tambahan untuk membentuk kerajaan.
“Di Perak, PN cuma perlu empat kerusi lagi. Di Pahang, lima kerusi sahaja. Di Selangor, tujuh kerusi. Bukan bermula dengan telur ayam, Tok Mat. Telur ayam tu status geng Tok Mat sendiri,” tempelaknya.
Idris turut mengingatkan Ahmad Maslan mengenai pantun yang pernah disampaikan semasa mereka sepentas suatu ketika dahulu di mana kini pantun itu kembali kepada diri pemimpin Umno itu sendiri.
“Dulu masa Tok Mat sepentas dengan saya, teringat pantun pusaka Tok Mat, ‘Kalau tuan pergi memancing, jangan lupa bawa umpan. Kalau tuan tidak mahu dikencing, jangan undi Pakatan Harapan.’
“Sekarang, pantun tu balik kepada tuan punya badan. Kalau rakyat dah kena dua kali, ketiga kali jangan haraplah,” tegasnya.
Beliau berkata, rakyat hari ini tidak lagi memilih berdasarkan sentimen semata-mata, sebaliknya berdasarkan rekod dan konsistensi seseorang pemimpin.
“Bukan apa Tok Mat, rakyat sekarang bukan macam dulu. Depa undi berdasarkan rekod dan siapa yang konsisten, bukan yang putar haluan demi jawatan.
“Jadi Tok Mat, teruskanlah angan-angan tu. Cuma jangan nanti angan jadi igauan,” kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada Timbalan Menteri Kewangan itu.
Terdahulu media tempatan melaporkan bahawa Umno menyifatkan Kerajaan PN di Perlis, Kedah dan Terengganu sebagai tidak stabil dan berpotensi dirampas semula oleh Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) pada pilihan raya akan datang.
Ahmad Maslan berkata, separuh pengundi di negeri itu menyokong Umno, manakala selebihnya pengundi atas pagar yang mampu mengubah keputusan.
Beliau turut menegaskan ketidakpuasan rakyat terhadap PN boleh mendorong sokongan semula kepada Umno. – HARAKAHDAILY 5/7/2025











