Capai RM1 juta, surau dan dewan hampir siap

Kompleks PAS Kawasan Jerlun

- Advertisement -

JERLUN: Pembinaan Kompleks PAS Kawasan Jerlun di Kampung Lana Bulu kini semakin rancak dengan sejumlah besar kemajuan fizikal dicapai hasil sumbangan padu daripada ahli serta penyokong PAS, dalam dan luar kawasan.

- Advertisement -

Timbalan Yang Dipertua PAS Jerlun, Azhar Ibrahim berkata, sehingga kini jumlah kutipan dana yang telah berjaya dikumpul mencecah hampir RM1 juta.

Menurutnya, RM500,000 telah digunakan untuk pembelian tanah seluas 9.5 relong, RM300,000 bagi pembinaan sebuah surau (kini 80 peratus siap), dan RM100,000 lagi untuk mendirikan dewan.

“Kita sekarang dalam proses mendirikan sebuah dewan besar bersaiz panjang 100 kaki dan 50 kaki lebar. Rangka kasar, bumbung dan lantai simen telah pun siap.

“Fasa seterusnya adalah pembinaan bangunan pentadbiran sementara yang akan disambungkan ke dewan ini,” katanya yang juga ADUN Ayer Hitam kepada _Harakahdaily_ hari ini.

Bangunan pentadbiran sementara itu ujarnya, dirancang untuk memuatkan pejabat utama, pejabat pelbagai dewan, bilik mesyuarat serta bilik khas untuk Yang Dipertua PAS Kawasan Jerlun.

“Keseluruhan pembinaan ini disasarkan untuk disiapkan dalam tempoh setahun sebelum projek jangka panjang membina bangunan pentadbiran kekal dimulakan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, pengalaman pembinaan Kompleks PAS Kedah di Batu 9 yang mengambil masa 16 tahun menjadi panduan penting dalam perancangan projek ini.

“Kita di sini baru dua tahun mula bina, insya-Allah dengan komitmen berterusan daripada pimpinan dan ahli kita, kita yakin dapat siapkan kompleks ini dalam beberapa tahun lagi,” ujarnya optimis.

Terdahulu, Majlis Makan Tengahari Dana Kompleks PAS Jerlun telah dianjurkan pada 28 Jun lepas dengan kehadiran tetamu kehormat, Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Azhar juga berkata, kompleks tersebut bukan sahaja bakal menempatkan kemudahan pentadbiran, bahkan dirancang untuk menjadi pusat pendidikan dan aktiviti masyarakat di kawasan tersebut.

“Daripada 9.5 relong tanah yang dibeli, sebanyak empat relong telah ditambak dan digunakan bagi fasa awal pembinaan kompleks.

“Semua ini adalah hasil sumbangan masyarakat yang sentiasa menyokong usaha dakwah dan pembangunan ummah di Jerlun. Alhamdulillah,” kata Azhar.

PAS Jerlun menyasarkan kutipan keseluruhan sebanyak RM3 juta untuk menyiapkan keseluruhan kompleks, dan kini sedang menggiatkan usaha bagi mencapai baki RM2 juta yang masih diperlukan. – HARAKAHDAILY 6/7/2025

- Advertisement -