
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru rakyat untuk menyatakan penolakan terhadap Kerajaan Madani dengan hadir ke Himpunan Turun Anwar akan diadakan di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.
Naib Ketuanya, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menyeru demikian ketika ucapan Himpunan Turun Anwar Peringkat Selangor di pekarangan parkir belakang Hotel Concorde, Seksyen 9, di sini hari ini.
“Adakah Anwar Ibrahim pemerintah yang adil? Adakah beliau melaksanakan tugasannya sebagai pemerintah? Adakah beliau layak Perdana Menteri di Malaysia?” pertikainya.
Hanif secara sinis berkata, beliau terbawa-bawa dengan senyuman Anwar yang sering terpampang di media, namun akhirnya menyedari bahawa janji-janji pemimpin itu hanyalah mimpi tidak tertunai.
“Saya bangun pagi tadi, saya melihat gambar senyuman Anwar. Pada ketika itu, hati saya berbunga-bunga. Saya rasakan indahnya Malaysia dipimpin Perdana Menteri yang saya yakin akan melaksanakan segala hajat telah dijanjikan.
“Masuk pasar raya ambil barang asas, terbayang senyuman Anwar Ibrahim. Tapi bila tengok harga, muka saya basah.. rupanya ia hanya mimpi. Begitu banyak perkara yang beliau telah janjikan kepada kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyelar pelaksanaan konsep Kota Madani yang menurutnya hanya indah di nama, tetapi dibina atas janji-janji yang dimungkiri.
“Hari ini beliau ingin melaksanakan Kota Madani yang mungkin ada kebaikan yang ingin dilakukan. Tetapi wahai Anwar, sebelum kamu ingin melaksanakan dan mewujudkan Kota Madani, kotakan dulu janji kamu.
“Kotakan janji segala apa yang pernah kamu ucapkan! ‘Hari ini saya menang. Hari ini saya ada kuasa. Minyak akan turun’. Saya ingin tanya.. minyak dah turun ke belum?” persoalnya.
Beliau menambah bahawa himpunan asal dirancang sebagai bantahan terhadap Pembangunan Semula Bandar (URA), namun terlalu banyak isu rakyat yang membelenggu hingga menyebabkan rasa marah dan kecewa semakin memuncak setiap hari.
“Kalau ikutkan kita sebenarnya ingin melaksanakan himpunan berkait dengan bantahan kita terhadap URA kerana isu itu adalah isu yang sangat penting.
“Akan tetapi, ketika mana kita meneliti setiap isu-isu yang berlaku, bukan sekadar isu URA sahaja, malah hampir setiap hari, jam, bahkan hampir setiap saat, akan ada sahaja isu yang berlaku sepanjang tempoh pemerintahan Madanon yang ada pada hari ini,” bidasnya.
Beliau turut menyindir Perdana Menteri yang kini digelar ‘PMTax’ oleh warga maya, selepas tular gambar Anwar membaca buku di atas kapal terbang.
“Apa yang lebih mengindahkan pada ketika itu iaitu bilangan ‘like’ yang berada di belakang. Hari ini Anwar Ibrahim tonton dia tak boleh tengok gambar, tak boleh tengok orang senyum, dia tak boleh tengok emoji senyum.
“Dia tertekan stres kerana setiap apa sahaja posting yang masuk dalam media sosial pasti emoji senyum akan melebihi daripada sebanyak emoji-emoji yang lain. Dia menunjukkan manifestasi rakyat bersama-sama dengan kita,” yakininya.
Justeru, beliau menyeru agar lebih ramai berani hadir menyatakan protes secara aman dalam Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini. – HARAKAHDAILY 6/7/2025











