Beban ekonomi terasa terus dalam dompet rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap tekanan ekonomi yang semakin mencengkam rakyat terutama golongan bawahan, susulan pelbagai langkah kerajaan dilihat tidak mesra rakyat.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, penarikan subsidi diesel yang berkuat kuasa pada Jun lalu telah melonjakkan harga kepada RM2.85 seliter, sekali gus menjejaskan kos pengangkutan dan logistik.

Menurut bekas Ahli Dewan Negara itu, keadaan tersebut juga menyebabkan kesan berganda kepada harga makanan, barangan keperluan harian dan bahan binaan.

“Kebanyakan rakyat merasakan tekanan ekonomi yang semakin serius mencengkam kehidupan tidak ditangani dengan baik oleh pihak kerajaan. Kehidupan rakyat bawahan semakin dihimpit dengan kos sara hidup yang kian meningkat.

“Rakyat merasakan beban ini secara langsung dalam dompet mereka kerana harga barang naik, tetapi pendapatan masih sama. Tarif elektrik turut meningkat untuk sektor pengguna intensif tenaga, termasuk pusat data dan perkilangan.

“Ini menyebabkan kos pengeluaran meningkat dan sekali lagi rakyat menjadi mangsa melalui kenaikan harga perkhidmatan dan produk,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, situasi itu menambah derita rakyat yang sebelum ini telah lama bergelut dengan tekanan inflasi, kadar faedah tinggi dan pasaran kerja tidak stabil.

“Bagi suri rumah, peniaga kecil dan ibu tunggal, kesannya sangat terasa kerana ada yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan makanan anak-anak, menangguhkan rawatan kesihatan, bahkan berhutang demi meneruskan kehidupan.

“Ingatlah wahai kerajaan Madani, bahawa keadilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat adalah tanggungjawab besar di sisi agama!” ujarnya mengingatkan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat ke 56.

Justeru, beliau menyeru kerajaan agar mengkaji semula pendekatan rasionalisasi subsidi supaya tidak menindas rakyat miskin dan memperkenalkan bantuan langsung bersasar yang benar-benar sampai ke tangan rakyat marhaen.

Tambahnya, beliau turut menyeru agar kerajaan perlu mengurangkan ketirisan dan pembaziran dalam pengurusan kewangan negara dan memastikan usaha reformasi tenaga tidak menjadikan rakyat mangsa tekanan kos.

“Ayuh terus memperjuangkan suara rakyat di semua peringkat! Kami akan memperkukuh agenda dakwah dan kebajikan melalui jaringan wanita agar tiada yang terpinggir.

“Kepada wanita, pemuda dan rakyat seluruhnya mari kita semua berganding bahu untuk menegakkan keadilan dan memastikan kekayaan negara ini dinikmati oleh semua, bukan segelintir sahaja,” katanya.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengenalpasti pendekatan lebih berkesan dalam meringankan tekanan ekonomi rakyat, susulan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatankuasa khas itu akan dianggotai tokoh ekonomi dan kepimpinan daripada PAS, BERSATU, GERAKAN serta parti komponen lain dalam PN.

“Saya tengok ia (kenaikan kadar SST) suatu beban kepada rakyat meskipun kerajaan kata ia (SST) tidak membebankan rakyat. Kenaikan kadar itu juga semua naik serentak pada bulan ini. Rakyat masih terasa dengan kos sara hidup sebelum ini.

“Jadi, kita akan duduk bersama dan bincang langkah yang boleh diambil dalam masa terdekat, bukan hanya tekan kerajaan tetapi juga cari penyelesaian bantu rakyat hadapi situasi sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/7/2025

- Advertisement -