
KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa Kerajaan Selangor agar mencontohi ketegasan yang ditunjukkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Kerajaan Pahang dalam menangani isu penggunaan vape.
Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, titah Sultan Pahang yang menzahirkan kebimbangan terhadap budaya menghisap vape adalah berpaksikan fakta dan realiti semasa yang membuktikan kesan buruk terhadap kesihatan awam dan masa depan generasi muda.
“Saya menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap titah baginda yang menzahirkan kebimbangan serius terhadap budaya menghisap vape khususnya dalam kalangan remaja.
“Kebimbangan yang dizahirkan baginda bukanlah bersifat reaktif, tetapi berpaksikan fakta dan realiti semasa yang terbukti membahayakan kesihatan rakyat serta mengancam masa depan generasi muda.
“Malah, titah baginda turut mengaitkan penggunaan vape sebagai salah satu punca awal yang mendorong kepada penagihan dadah di kalangan belia,” kata Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat itu.
Ahmad Yunus yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, pengharaman vape oleh Kerajaan Pahang serta fatwa dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Negeri sepatutnya menjadi contoh yang harus diteladani oleh kerajaan-kerajaan negeri lain.
“Sikap tegas dan berani ini adalah langkah proaktif demi menjaga kemaslahatan rakyat dan keharmonian masyarakat, namun timbul persoalan penting, apakah pendirian sebenar Kerajaan Selangor?” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang berkata, Kerajaan Selangor pernah menyatakan hasrat untuk mengharamkan penggunaan vape di negeri ini pada Mei lalu.
“Namun, sehingga kini tiada sebarang perkembangan atau kenyataan susulan yang menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan janji tersebut. Adakah kerajaan negeri masih meneliti, sedang mengkaji atau sudah melupakan terus hasrat tersebut?
“Rakyat terutama ibu bapa yang prihatin amat menantikan langkah konkrit demi menyelamatkan anak-anak mereka daripada terjerumus ke kancah ketagihan nikotin dan dadah,” katanya.
Jelas beliau, isu vape bukan lagi isu peribadi atau gaya hidup, sebaliknya merupakan krisis kesihatan awam yang memerlukan tindakan segera dan kerajaan jangan membiarkan kelewatan membuatkan lebih ramai belia rosak sebelum waktunya.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara keseluruhan susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).
Titah baginda, antara punca utama golongan muda terjebak dalam ketagihan dadah secara langsung dan tidak langsung bermula dengan penggunaan vape.
“Alat vape ini adalah alat yang merosakkan kesihatan. Saya akan menyuarakan kepada kerajaan supaya vape perlu diharamkan secara keseluruhan.
“Tidak perlu diberi pertimbangan sewajarnya, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 6/7/2025











