
SUBANG: Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir mempersoalkan tindakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyiarkan iklan ucapan tahniah yang menelan belanja mencecah RM31,500.
Roslan berkata, tindakan itu dilihat tidak wajar dan membazir, apatah lagi apabila ia datang dari seluruh warga kerja KPKT sendiri dan bukan daripada pihak luar seperti syarikat korporat atau badan bukan kerajaan.
“Jika iklan ini ditaja oleh syarikat swasta, kumpulan profesional atau individu tertentu, itu biasa. Tapi ini datangnya dari kementerian sendiri, dari warga kerja KPKT. Luar biasa!” katanya dalam kenyataan di Facebook, pada Ahad.
Beliau turut membangkitkan persoalan berkaitan kos iklan tersebut yang dianggarkan mencecah RM31,500, berdasarkan kadar semasa iklan muka penuh dalam akhbar berbahasa Inggeris.
“Saya tidak pasti siapa yang bayar caj iklan ini. Kalau Menteri atau Timbalan Menteri bayar dari poket sendiri, itu satu hal. Tapi jika ia guna wang kerajaan iaitu wang rakyat, maka itu satu pembaziran yang sangat keterlaluan,” tegas beliau.
Roslan turut menyelar budaya ‘masuk bakul angkat sendiri’ yang menurutnya semakin menjadi-jadi sejak KPKT diterajui pemimpin daripada parti DAP.
“Cukuplah budaya sia-sia seperti ini. Fokuslah kepada kebajikan rakyat, perumahan mampu milik dan penyelesaian masalah setinggan. Bukan membuang wang rakyat untuk pujian kepada diri sendiri,” katanya lagi.
Pelantikan Malaysia sebagai Presiden UN-Habitat merupakan satu pengiktirafan penting di peringkat antarabangsa, namun Roslan menegaskan bahawa ia tidak wajar dijadikan alasan untuk membelanjakan dana awam demi mempromosikan pencapaian individu atau parti.
Justeru, beliau menuntut penjelasan rasmi daripada pihak KPKT sama ada dana kementerian digunakan untuk membiayai iklan tersebut dan sama ada ia telah diluluskan mengikut prosedur kewangan kerajaan.
Terdahulu, satu iklan muka penuh berwarna yang diterbitkan di muka surat tujuh akhbar The Sunday Star kelmarin menimbulkan persoalan berkenaan ketelusan dan keutamaan perbelanjaan awam oleh KPKT.
Iklan itu mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Madani atas pelantikan Malaysia sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat bagi penggal 2025–2029.
Apa yang mencuri perhatian ialah ucapan tersebut datangnya daripada seluruh warga kerja KPKT dan bukannya pihak luar seperti syarikat korporat atau badan bukan kerajaan.
Kementerian turut menyenaraikan pelbagai bahagian dan jabatan di bawahnya, dengan memaparkan gambar Menteri KPKT, Nga Kor Ming dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 3/6/2025











