Isu gas LPG bakal beri kesan berantai peningkatan kos

Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penghapusan subsidi dan pengenaan cukai ke atas gas LPG industri bakal meningkatkan kos operasi perniagaan kecil dan sederhana (PKS), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.

- Advertisement -

Beliau berkata, langkah itu juga memberi kesan langsung kepada sektor seperti kedai makan, dobi, hotel dan lain-lain yang bergantung kepada gas ini sebagai sumber tenaga utama.

“Kos operasi mereka akan meningkat dengan ketara dan bagi menampung kos tersebut, peniaga terpaksa menaikkan harga produk dan perkhidmatan. Akibatnya, pengguna akhir akan menanggung beban ini dalam bentuk harga makanan, perkhidmatan dan barangan harian yang lebih mahal.

“Kesan ini akan mewujudkan rantaian inflasi dari sektor industri ke pengguna, yang mana kuasa beli rakyat akan terus terhakis. Bagi golongan B40 dan M40, kenaikan ini memberi tekanan tambahan kepada perbelanjaan bulanan mereka.

“Dalam masa jangka panjang, peningkatan kos sara hidup boleh menyebabkan kelembapan dalam perbelanjaan domestik, yang akhirnya menjejaskan pertumbuhan ekonomi keseluruhan negara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Fadhli berkata, pengurangan subsidi juga boleh melemahkan daya saing perniagaan tempatan, terutama PKS yang tidak mempunyai margin keuntungan besar.

“Kesan ini boleh menyebabkan pengurangan peluang pekerjaan, penutupan premis perniagaan kecil dan peningkatan kadar pengangguran, sekali gus memberi kesan buruk kepada kestabilan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Tambah beliau, retorik mengenai penyusunan semula subsidi bersasar dan memulihkan kewangan negara hanya tinggal slogan kerana tiada ketelusan dalam pelaksanaan.

“Dalam masa yang sama, ketirisan dan pembaziran dalam perbelanjaan kerajaan terus berlaku. Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa kerajaan lebih mementingkan angka atas kertas berbanding kebajikan rakyat terbanyak,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu berkata, kerajaan Anwar Ibrahim gagal menarik keyakinan pelabur asing dan tempatan kerana dasar yang bercelaru dan kenyataan bercanggah antara menteri.

“Rakyat sudah mula hilang kepercayaan terhadap kepimpinan yang lebih banyak menuding jari ke belakang daripada memimpin dengan visi ke hadapan,” katanya.

Katanya, daripada terus menekan rakyat dengan pengurangan subsidi dan pengenaan cukai baharu, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada menambah hasil negara melalui pemerkasaan sektor produktif seperti pelancongan, pertanian moden, digital ekonomi dan teknologi hijau.

“Pelaburan strategik dalam bidang ini boleh mencipta peluang pekerjaan, menarik pelaburan asing dan menjana pendapatan berterusan kepada kerajaan,” ujarnya.

Menurut beliau, dasar ekonomi yang mesra rakyat dan mesra pelabur boleh digabungkan untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi lebih seimbang dan mampan.

“Kerajaan perlu fokus kepada polisi jangka panjang yang menggalakkan produktiviti dan inovasi, bukan hanya langkah jangka pendek yang membebankan rakyat.

“Dalam menghadapi kenaikan kos LPG, rakyat terutama peniaga kecil perlu mencari alternatif seperti penggunaan peralatan yang lebih cekap tenaga, beralih kepada sumber tenaga yang lebih menjimatkan seperti elektrik jika sesuai, dan menyesuaikan menu atau operasi bagi mengurangkan pembaziran tenaga.

“Penggunaan teknologi dan automasi juga boleh membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja dan menjimatkan kos jangka panjang,” katanya.

Kata beliau, bagi pengguna biasa, penting untuk lebih bijak berbelanja dan merancang bajet dengan teliti.

“Belajar kaedah penjimatan seperti memasak di rumah, berkongsi kenderaan dan mengurangkan pembelian tidak perlu, adalah langkah kecil yang memberi kesan besar dalam jangka panjang.

“Komuniti juga boleh berganding bahu melalui inisiatif koperasi, berkebun komuniti, atau pembelian pukal untuk mengurangkan kos sara hidup bersama.

“Jika kerajaan terus bergerak tanpa halatuju ekonomi yang kukuh dan menyeluruh, Malaysia bukan sahaja berdepan dengan tekanan kos sara hidup yang makin parah, tetapi juga kehilangan potensi untuk keluar dari perangkap ekonomi pertengahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2025

- Advertisement -