Isu tong gas ungu: Peniaga kecil makin ditekan, tak dibela

Ustaz Hussin Radzuan
- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Kawasan Jasin mengambil maklum dan prihatin terhadap isu terbaharu yang melibatkan tindakan penguatkuasaan terhadap para peniaga kecil khususnya penjaja, peniaga pasar malam dan warung makan yang menggunakan tong gas ungu (LPG bersubsidi) dalam operasi mereka.

- Advertisement -

Beberapa laporan mendapati berlaku penyitaan peralatan, teguran keras dan denda terhadap mereka yang dikatakan menyalahgunakan subsidi.

Situasi ini menimbulkan keresahan, khususnya dalam kalangan peniaga kecil yang merupakan sebahagian daripada golongan B40, yang amat bergantung pada tong gas bersubsidi ini demi kelangsungan rezeki halal mereka.

Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin ingin menegaskan beberapa perkara penting:

Pertama, Tong gas ungu bukanlah satu bentuk kemewahan, tetapi satu keperluan asas bagi peniaga kecil untuk menyediakan makanan dan minuman. Tong gas industri yang jauh lebih mahal adalah di luar kemampuan mereka.

Kedua, Kami dapati masih terdapat kekeliruan tentang permit 3 tong gas – garis panduan siapa layak dan tidak layak masih belum diperjelaskan sepenuhnya. Ini membuka ruang kepada tindakan penguatkuasaan yang kelihatan tidak adil.

Ketiga, Penguatkuasaan yang bersifat ‘menjalankan tugas’ mestilah dilaksanakan dengan penuh hikmah, adil dan berperikemanusiaan. Islam mengajar kita:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Dan hendaklah kamu saling tolong-menolong dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perbuatan dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah ayat 2)

Keempat, Kami menekankan bahawa sebarang dasar subsidi mestilah mengambil kira realiti kos hidup rakyat, bukan sekadar berpandukan prosedur semata-mata. Sabda Rasulullah ﷺ:

لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسٍ مِنْهُ
“Tidak halal harta seseorang Muslim kecuali dengan kerelaan hatinya.” (HR Imam Ahmad dan Imam al-Baihaqi)

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin menuntut:

  • Penangguhan serta-merta sebarang bentuk penguatkuasaan terhadap peniaga kecil yang menggunakan tong gas ungu, sehingga satu garis panduan rasmi dan adil dikeluarkan.
  • Penjelasan semula oleh pihak kerajaan tentang syarat permit 3 tong gas agar mudah difahami dan mengelakkan kekeliruan.
  • Kerajaan wajar membuka ruang dialog antara kementerian berkaitan, pembekal gas, persatuan peniaga dan wakil rakyat, untuk merangka pelan penyelesaian jangka panjang yang tidak membebankan peniaga.
  • Latihan dan penerangan menyeluruh berkenaan dasar subsidi gas kepada semua lapisan peniaga, supaya tiada salah faham dan tindakan yang menindas mereka yang hanya mahu mencari rezeki secara halal.
  • Kerajaan turut perlu memikirkan aspek kos sara hidup lain yang terus menekan rakyat, bukan hanya soal tong gas semata-mata.

Kami akan terus memantau isu ini dan sedia memberikan sokongan kepada para peniaga kecil yang menjadi mangsa dasar yang masih kabur.

Kami menyeru agar kerajaan mengambil pendekatan yang lebih mesra rakyat dan berhikmah, agar tidak berlaku penganiayaan kepada golongan yang benar-benar memerlukan perlindungan subsidi ini.

USTAZ HUSSIN RADZUAN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Jasin – HARAKAHDAILY 3/6/2025

- Advertisement -