Tengku Zafrul perlu letak jawatan lepas tinggalkan Umno

Yusfarizal Yussoff
- Advertisement -

SHAH ALAM: Sistem Westminster tidak boleh diaplikasikan secara mutlak dalam konteks politik dan perundangan Malaysia kerana perbezaan struktur asas, termasuk kewujudan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

- Advertisement -

Pengarah Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Selangor, Yusfarizal Yussoff berkata, sistem itu berasal dari United Kingdom berasaskan prinsip ‘majoritarian’ iaitu pemerintahan oleh parti yang mendapat majoriti mudah.

Beliau berkata, sistem itu mempunyai ciri-ciri seperti dominasi satu parti dalam kabinet, ketiadaan semakan kehakiman, serta tiada perlembagaan bertulis yang berbeza sama sekali dengan amalan di Malaysia.

“Ramai yang bercakap tentang sistem Westminster sebagai asas kepada sistem demokrasi berparlimen di negara ini, namun ramai yang keliru apakah Westminster dan bezanya dengan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang paling tinggi di negara ini?

“Di Malaysia, kita dapat melihat bahawa sistem Westminster ini diadaptasi, namun dengan beberapa perubahan besar. Sebagai contoh, Malaysia mempunyai Perlembagaan bertulis yang merupakan undang-undang asas negara.

“Oleh itu, ia mempunyai mekasime semakan kehakiman untuk membolehkan badan kehakiman menyemak keputusan eksekutif atau legislatif,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Yusfarizal turut mengulas isu-isu semasa berkaitan kedudukan menteri kabinet, antaranya Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli, dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, tindakan mendesak Rafizi untuk meletak jawatan hanya kerana hilang jawatan dalam parti tidak tepat kerana pelantikan menteri dibuat atas syor Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Saya boleh bersetuju sekiranya beliau mengambil keputusan meletak jawatan atas dasar sedar diri, namun untuk menyatakan beliau sudah tidak ada mandat, saya merasakan agak pelik. Tambahan pula, beliau masih ahli PKR,” katanya.

Namun begitu katanya, kes Tengku Zafrul lebih jelas dari sudut moral politik kerana beliau telah keluar daripada Umno, iaitu parti yang mencadangkannya untuk dilantik sebagai senator dan menteri.

“Maka keluarnya daripada Umno bermaksud, beliau sudah tidak mewakili Umno di dalam kerajaan minoriti Perpaduan tersebut,” ujar pengamal undang-undang itu.

Kes Rafizi Ramli katanya, ialah kes ‘sedar diri’ kerana sudah tidak berjawatan tinggi dalam parti walaupun pelik dari segi konsep mandat menteri, sementara kes Tengku Zafrul adalah kes ‘lompat parti’ walaupun beliau hanyalah senator lantikan.

“Ia perlu dibezakan. Adalah sedikit janggal untuk PMX menyatakan kedudukan menteri Tengku Zafrul tidak terjejas kerana ia adalah satu tindakan ‘lompat parti’. Yang lebih pelik ialah lompatan itu adalah kepada parti gabungan dalam kerajaan minoriti,” katanya.

Yusfarizal turut mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan kedudukan Tengku Zafrul tidak terjejas, sedangkan tindakan berpindah parti, walaupun ke parti komponen kerajaan sendiri, tetap memberi implikasi kepada keabsahan moral pelantikan tersebut.

Justeru, beliau menegaskan bahawa apa-apa prinsip dari sistem Westminster yang tidak diperuntukkan secara jelas dalam Perlembagaan harus diketepikan jika ia bertentangan dengan undang-undang tertinggi negara.

Terdahulu, Tengku Zafrul keluar Umno dan menyertai PKR akan memberi kesan simbolik dan politik yang besar, khususnya kepada dinamika dalaman kerajaan campuran terutama dalam beberapa aspek.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, pengumuman itu sebaliknya sudah dijangka susulan beberapa ramalan dan desas-desus yang tular sebelum ini.

“Ditambah lagi, apabila dua kekosongan kerusi Menteri yang bakal ditinggalkan oleh Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad (terdahulu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) memberikan ruang yang lebih luas kepada Tengku Zafrul untuk mengisi kekosongan tersebut, khususnya Menteri Ekonomi.

“Sebagai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ketua Bahagian Umno, ‘pengorbanan’ yang dibuat oleh Tengku Zafrul sudah semestinya sesuatu yang perlu digantikan dengan kedudukan yang lebih bermakna,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/6/2025

- Advertisement -