
KONSEP integrasi antara negara serantau merupakan sebuah kolaborasi pelbagai hala dalam pelbagai bentuk. Misalnya, merangkumi kepentingan serantau dari sudut ekonomi, sosial, pendidikan, alam sekitar, keselamatan, budaya serta modenisasi teknologi antara negara. Sejak dari tahun 1967 lagi integrasi kerjasama dalam pelbagai aspek antara negara ASEAN telah mula berkembang.
Sejak dari dahulu lagi, negara Malaysia amat dihormati, oleh kerana muncul sebagai negara yang memainkan fungsi penting bagi membentuk hala tuju serantau.
Langkah integrasi serantau perlu diteliti sebagai suatu peluang keemasan untuk memperkukuh pembangunan negara, melalui kerjasama yang bersifat srategik. Namun, dalam menilai pelaksanaan dan komitmen Malaysia melalui integrasi ini, terdapat beberapa aspek yang harus diperhalusi dari segi impak dasar domestik.
Sempena tahun 2025 ini, Malaysia telah dipilih sebagai pengerusi persidangan kemuncak ASEAN. Ini secara langsung, mewujudkan lebih banyak ruang ke arah pembangunan dasar negara yang lebih fleksibel.
Selain daripada membahaskan perkara besar berkenaan Deklarasi Kuala Lumpur, Inovasi Digital, Ekonomi Hijau, Isu Laut China Selatan, perkara pokok yang patut dititik beratkan sekarang ini adalah berkenaan dengan mengintegrasikan pelan ASEAN. Menyerap peluang-peluang yang ada sebagai langkah ke arah pembangunan domestik.
Penulis menfokuskan kepada lima aspek utama iaitu terdiri daripada kemampuan ekonomi negeri kearah ekonomi hijau, kemajuan pendidikan ke arah kecerdasan pembuatan (AI), menanggani isu kemiskinan, kepimpinan belia Malaysia seterusnya menyentuh jaringan keselamatan negara.
Merancakkan ekonomi negeri-negeri di Malaysia ke arah Ekonomi Hijau
Kepimpinan dari pelbagai negara ASEAN bersetuju untuk menekankan kepentingan, kelestarian dengan memfokuskan mengenai ekonomi hijau.
Jika dalam konteks domestik, khususnya di beberapa buah lokasi perindustrian seperti Selangor di Shah Alam, Johor mempunyai Pasir Gudang, manakala Pulau Pinang ada ‘Silicon Valley of the East’, Kedah di Kulim Hi-Tech Park dan Negeri Sembilan perindustrian di Seremban. Lokaliti di negeri-negeri ini seharusnya mengambil peluang untuk pembangunan teknologi mesra serta infrastruktur hijau.
Dalam pada itu, melalui kerjasama antara rantau ASEAN, sudah semestinya membuka ruang bagi pertukaran teknologi hijau, pelaburan asing dalam sektor tenaga bersih dengan pembangunan bandar yang rendah karbon.
Sementelahan itu, penerapan ekonomi hijau bukan tertumpu terhadap memacu pertumbuhan ekonomi tempatan tetapi juga sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap matlamat pembangunan mampan (SDG). Seperti SDG 11 iaitu bandar dan komuniti lestari ‘Sustainable cities and communities’ dan SDG 7 iaitu tenaga bersih dan mampu milik (Affordable and clean energy).
Pendidikan ke arah kemajuan kecerdasan buatan (AI)
Sementara itu, kecerdasan buatan (AI) menjadi topik hangat dibincangkan dalam kerjasama serantau ASEAN. Melihat terhadap kejayaan Malaysia sebelum ini, negara telah mampu membangunkan cip AI pertama yang menyokong aplikasi kecerdasan buatan dalam pelbagai sektor.
Amat membanggakan apabila teknologi ini dibangunkan sepenuhnya di Malaysia, ia jugak merupakan bukti keupayaan lokal dalam bidang semikonduktor dan AI, apatah lagi jika ia mampu dimanfaatkan dalam kerangka pendidikan.
Malaysia harus memperluaskan lagi inisiatif seperti ‘AI Talent Roadmap’ dan perkongsian pintar antara IPT serta pemain industri di rantau ASEAN. Kerjasama ini sekali gus dapat mempercepatkan lagi pembangunan kurikulum yang relevan dengan zaman kini, merangkumi penyelidikan dengan pembangunan kapasiti tenaga pengajar.
Selain itu, Malaysia mampu menfokuskan beberapa sekolah mahupun institusi tinggi yang berpotensi boleh menjadi hab AI serantau, dengan adanya pelaburan dalam pendidikan digital dan teknologi maju. Misalnya IPT di Zon Lembah Klang, Utara, Pantai Timur, Selatan dan juga di wilayah Borneo. Hal ini secara langsung membuahkan lebih banyak hasil kepada integrasi dasar digital serta kemajuan pendidikan di Malaysia.
Menangani kemiskinan melalui hala tuju dalam Deklarasi Kuala Lumpur
Deklarasi Kuala Lumpur yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN juga telah menekankan agenda pengurangan jurang sosioekonomi dan pengukuhan komuniti.
Seterusnya, Malaysia harus menyelaras dasar pembangunan negeri dengan menekankan prinsip-prinsip dalam deklarasi tersebut. Hal ini termasuklah dalam konteks pembangunan luar bandar, merencana ekonomi golongan rentan dan perlindungan sosial khas.
Misalnya, pendekatan seperti Desa Lestari dan atau Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) boleh ditingkatkan melalui kerjasama negara rantau dalam pembiayaan mikro dan pembangunan komuniti mampan. Sekali gus, perkara ini sememangnya mampu memastikan pembasmian kemiskinan dilaksanakan lebih terancang dengan rangka kerja komprehensif.
Belia prospek kepimpinan masa depan negara
Meninjau terhadap kerangka Persidangan ASEAN 2025, Malaysia wajar memberi penekanan terhadap pembangunan belia sebagai teras utama untuk merealisasikan agenda negara yang berdaya saing.
Para belia merupakan aset terpenting negara yang berkebolehan memacu pertumbuhan ekonomi dan sosial. Oleh kerana golongan ini antara pihak penyumbang terbesar kepada sumber pembangunan negara. Melalui kerjasama serantau, Malaysia mampu memperkukuh program seperti latihan kemahiran, pertukaran pendidikan dan peluang keusahawanan rentas sempadan.
Di samping itu, inisiatif seperti ASEAN Youth Development Index juga perlu dimanfaatkan bagi menilai tahap kesejahteraan belia dan merangka dasar yang lebih responsif terhadap keperluan belia masa kini. Dengan itu, melalui pendekatan proaktif tersebut, agenda pembangunan belia bukan sahaja lagi dalam bab memperkukuh struktur sosial serta ekonomi negara, tetapi meliputi pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin progresif buat komuniti serantau.
Keselamatan serantau seperti isu Laut China Selatan dan Kod Tatakelaku (CoC)
Seperti sedia maklum, isu Laut China Selatan kekal sebagai cabaran keselamatan utama dalam ASEAN. Persidangan pada kali ini turut menekankan keperluan memperkukuh Kod Tatakelaku (Code of Conduct – CoC) sebagai mekanisme diplomasi dan pencegahan mengelakkan konflik pada masa akan datang.
Negara Malaysia, sebagai negara yang terlibat langsung harus menggunakan pendekatan kolektif dengan kekuatan negara serantau. Justeru, mampu memastikan kedaulatan maritim di perairan negara terpelihara tanpa menjejaskan hubungan kerjasama diplomatik dengan negara lain. Jelaslah bahawa, perlunya kolaborasi pertahanan serta dialog terbuka di peringkat ASEAN, negara kita boleh memainkan fungsi signifikan bagi memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini, terutamanya di kawasan pesisir Sabah dan Sarawak terpelihara.
Secara keseluruhan, sebagai pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN 2025, ini merupakan peluang strategik bagi melaksanakan pengintegrasian agenda antara serantau dengan menyerap ke dalam dasar domestik Malaysia. Daripada tumpuan kepada ekonomi hijau, kemajuan AI dalam pendidikan, pengurangan kemiskinan, pembangunan belia, serta keselamatan serantau. Negara ini seharusnya mempunyai potensi dalam memacu pembangunan yang lebih fleksibel kepada semua negeri.
Justifikasinya, kaedah kolaborasi serantau yang berstruktur serta terancang, bukan sahaja mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia di persada ASEAN. Walhal, ia dapat menjadi pemangkin terhadap kemajuan dalam negara kepada negeri-negeri dengan lebih menyeluruh.
MUHAMMAD ASYRAF ANOR
Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia – HARAKAHDAILY 1/6/2025











