
KEMAMAN: Sidang Parlimen yang sepatutnya berlangsung pada hujung Jun telah ditangguhkan dan notis lewat diberikan kepada Ahli-ahli Parlimen hingga menimbulkan tanda tanya besar mengenai kestabilan pentadbiran negara.
Ahli Parlimen Alor Setar, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia berkata, penangguhan sidang dan penundaan ke hujung bulan Julai adalah satu kejadian luar biasa di mana jarang berlaku dalam amalan parlimen biasa.
“Penangguhan sidang jarang berlaku. Bila masuk tahun baru Januari, Setiausaha Dewan Rakyat akan beri takwim setahun sampai Disember,” kata beliau dalam program Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Chukai, di sini semalam.
Beliau menjelaskan bahawa penangguhan ini berpunca daripada pertelingkahan dalaman kerajaan yang menyebabkan Menteri Ekonomi meletak jawatan sehingga menjejaskan perancangan negara.
“Rupanya ada pertelingkahan dalaman parti, yang letak jawatan ialah Menteri Ekonomi. Sidang Parlimen bulan Julai nanti akan bincang agenda Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), siapa tuannya, siapa yang mengkaji? Kementerian Ekonomi,” katanya.
Penangguhan sidang ini bidas beliau, menunjukkan bagaimana campur aduk politik kepartian dalam urusan pentadbiran kerajaan akhirnya membawa kepada huru-hara dalam sistem pemerintahan.
Dalam pada itu beliau menyifatkan TMT 1.0 tersebut membuktikan bahawa kekuatan sesebuah gerakan politik tidak terletak pada dana kerajaan, tetapi pada keikhlasan perjuangan serta pengorbanan ahli-ahlinya.
Tegas beliau, keseluruhan penganjuran program ini dibiayai sepenuhnya hasil sumbangan para ahli dan pendokong PAS, tanpa menyentuh walau satu sen pun duit kerajaan.
“Kita buat program sehebat ini guna 100 peratus duit poket dan derma ahli parti. Tak guna satu sen pun duit dan harta kerajaan seperti mana kamu guna,” katanya menyindir pendekatan kerajaan ‘Madanon’ yang kerap memperalatkan sumber negara demi kepentingan politik mereka.
Menurut beliau, PAS sentiasa membezakan secara tegas antara fungsi kerajaan dan peranan parti politik, tidak seperti mana yang diamalkan oleh pihak lawan.
“Kami faham apa tugas kerajaan, apa fungsi parti politik. Kita takkan campur aduk kedua-duanya seperti yang kamu buat sekarang ini,” tegasnya lagi.
Afnan turut menyentuh kegagalan kerajaan Persekutuan mengurus krisis dalaman yang akhirnya membebankan pentadbiran negara dan rakyat secara keseluruhan.
“Perkelahian dalaman parti kamu, kamu seret ke dalam kerajaan. Letak jawatan menteri hanya kerana kalah dalam pemilihan parti, curi ahli parti rakan sendiri — yang sengsara akhirnya ialah rakyat,” tempelaknya. – HARAKAHDAILY 1/6/2025











