
DI TENGAH-tengah kemeriahan demokrasi dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini sedang menjalani proses pemilihan kepimpinan, timbul pelbagai persoalan yang bukan sekadar berkisar tentang siapa yang bakal menang atau kalah, tetapi lebih penting, apakah hala tuju sebenar parti ini dan sejauh mana matlamat perjuangan yang digariskan dalam perlembagaan parti masih menjadi kompas kepimpinan hari ini?
Kuasa di sebalik klausa
Perlembagaan PKR secara jelas membenarkan pertandingan bagi mana-mana jawatan dalam barisan kepimpinan sebagai satu manifestasi amalan demokrasi. Ia kononnya bertujuan menilai prestasi dan tahap amanah pemimpin sedia ada, serta memastikan kepimpinan itu seiring dengan matlamat parti. Namun begitu, dalam pemerhatian saya yang telah lebih empat dekad bergelumang dalam dunia politik tanah air, saya melihat bahawa kuasa sering kali bertindak melebihi sempadan klausa yang ada.
Kuasa bukan sekadar hak memimpin. Ia adalah tanggungjawab untuk merealisasikan matlamat perjuangan. Dalam konteks PKR, persoalan yang timbul, apakah pertandingan merebut jawatan tertinggi benar-benar bersandarkan kepada prinsip demokrasi bebas memilih demi memastikan kesinambungan perjuangan parti? Atau sekadar perebutan kuasa dalam kerangka strategi peribadi?
Nurul Izzah vs Rafizi: Politik atau strategi?
Pertandingan antara Nurul Izzah dan Rafizi Ramli untuk jawatan Timbalan Presiden suatu ketika dahulu masih segar dalam ingatan ramai. Apakah tindakan ini direstui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR merangkap Perdana Menteri Malaysia? Jika ya, adakah ia wajar atau sekadar perhitungan politik keluarga dan sahabat?
Ramai yang tertanya-tanya dan berteka-teki. Apakah benar-benar wujud idealisme perjuangan dalam PKR, atau hanya sekadar mainan kuasa demi pengaruh dan kedudukan?
Tafsiran klausa mengikut kuasa
Sejarah telah mengajar kita bahawa perlembagaan, baik di peringkat parti mahupun negara, sering kali ditafsirkan mengikut kehendak mereka yang berkuasa. Prinsip ‘rule of law’ atau ‘kedaulatan undang-undang’ kerap menjadi slogan kosong apabila tafsirannya bergantung kepada kepentingan semasa. Begitu juga dalam PKR, kuasa disandarkan kepada klausa, tetapi tafsiran klausa pula disandarkan kepada siapa yang berkuasa.
Jika kita meneliti Fasal 5 Perlembagaan PKR yang menyatakan 18 matlamat parti, kita akan dapati bahawa:
1. Tiada falsafah perjuangan yang menjadi asas ideologi.
2. Tiada nilai teras yang membentuk roh kepimpinan.
3. Tiada semangat yang mampu menyatukan pendokong parti secara menyeluruh.
PKR ibarat sebuah kapal yang penuh muatan, tetapi tidak jelas pelabuhan mana yang ingin dituju.
Matlamat 5.5: Ke mana arah agama dalam PKR?
Antara matlamat yang terkandung dalam Fasal 5 ialah perkara 5.5 yang menyentuh soal agama. Namun, pendekatan yang diambil menggambarkan suatu kecenderungan kepada liberalisme agama yang semakin ketara dalam gerakan dan kenyataan pemimpin parti. Ini selari dengan kebangkitan fahaman baru yang cuba menyeragamkan semua agama, sesuatu yang jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang meletakkan tauhid sebagai asas utama kehidupan.
Di sinilah perbezaan ketara antara PKR dan PAS. PAS tidak berganjak dari matlamat perjuangan yang berpaksikan al-Quran dan Sunnah. Inilah sumber kekuatan dan kelangsungan PAS sehingga hari ini. Lebih enam dekad PAS kekal relevan kerana roh perjuangan itu tidak berubah, walau siapa pun memimpin.
PKR tanpa wadah, tanpa jiwa
PKR, sebagai sebuah parti serpihan Umno, lahir daripada krisis politik individu, bukan daripada gagasan perjuangan yang tersusun dan diyakini rakyat. Sejarah membuktikan bahawa parti-parti serpihan sering berdepan kesukaran untuk bertahan lama melainkan mempunyai falsafah yang kukuh dan jati diri perjuangan yang jelas.
Justeru, hari ini kita melihat PKR terus bergelut dengan krisis identiti. Pertandingan demi pertandingan, pemilihan demi pemilihan, namun tiada hala tuju yang tuntas. Adakah matlamat utama PKR ialah memperjuangkan keadilan untuk rakyat, atau mengekalkan dominasi kuasa individu tertentu dalam parti?
Tanpa falsafah perjuangan yang menjadi tunjang, PKR berisiko menjadi platform politik kosong, sekadar tempat berhimpunnya elit kuasa, bukan medan rakyat menaruh harapan.
Penutup: Masa depan yang diperlukan, bukan sekadar kuasa
Adalah menjadi harapan saya sebagai seorang Muslim, rakyat Malaysia dan ahli politik veteran, agar semua parti politik termasuk PKR kembali kepada semangat sebenar perjuangan. Politik bukan hanya soal siapa yang memimpin, tetapi untuk apa kuasa itu digunakan.
Perjuangan yang benar adalah perjuangan yang berlandaskan nilai, bukan hanya strategi. Ia memerlukan hala tuju yang jelas, asas yang kukuh dan roh yang hidup. Selagi mana parti-parti seperti PKR tidak menjawab persoalan matlamat sebenar mereka secara jujur, maka selagi itu rakyat akan terus berada dalam kekeliruan, dan kepercayaan akan semakin pudar.
DATUK KAMILIA IBRAHIM
Ahli politik veteran dan ahli seumur hidup PAS – HARAKAHDAILY 1/6/2025











