
KEMAMAN: Kemenangan PAS di Terengganu diyakini akan menjadi satu gelombang kebangkitan yang turut memberikan kemenangan kepada PAS di Pahang sekali gus merealisasikan hasrat dan tekad ‘PAS Teraju Pahang’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, Umno yang sedang menerajui Kerajaan Negeri Pahang sendiri menunjukkan sedang berada dalam keadaan tergugat.
“Umno Pahang mula rasa ‘gogah’. PAS akan teraju Pahang pada Pilihan Raya Umum akan datang,” ujarnya yang juga Exco Pemuda PAS Negeri Terengganu dalam ceramah sempena Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) di Chukai, di sini semalam.
Pemuda PAS Terengganu dan Pahang telah menjalinkan hubungan kerjasama strategik bagi membangkitkan satu gelombang ‘PAS Teraju Pahang’ pada Pilihan Raya Umum akan datang dalam pertemuan pada 8 Mei lalu di Kuantan, Pahang.
Kerjasama padu kedua-dua sayap muda PAS ini telah menimbulkan rasa kurang senang pihak Umno Negeri Pahang yang menyifatkan ia sebagai cubaan menggugat kestabilan pentadbiran negeri di mana kini diterajui kerajaan sah dipilih rakyat.
Ketua Umno Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerjasama itu memberi gambaran jelas seolah-olah ada perancangan untuk mengambil alih tampuk pentadbiran negeri dengan menonjolkan misi politik tersendiri tanpa berasaskan mandat rakyat.
Menurutnya, tindakan tersebut merupakan cubaan mencabar kestabilan politik negeri yang sedang ditadbir dengan aman dan teratur.
“Kita (Pemuda PAS) buat satu kerja, dan bilamana kita buat itu, Umno Negeri Pahang mula rasa goyang, rasa ‘gogah’, rasa tak duduk senang. Sekarang ni, kita tidak lagi bercakap untuk kita memastikan kemenangan kita di Terengganu (sahaja).
“Tapi kita nak bercakap bahawa, bukan saja kita nak mengekalkan kemenangan kita di Terengganu, tapi kita akan pastikan PAS akan pergi ke Putrajaya,” ujar Dr Fakhruddin pada majlis tersebut.
Semalam, sebanyak 150 motosikal daripada konvoi Alternative Riding Club (ARC) Pahang telah membelah jalan menuju ke program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) yang berlangsung sempena TMT itu.
Konvoi anjuran Pemuda PAS Pahang itu merupakan tanda sokongan padu dan solidariti mereka terhadap perjuangan Pemuda PAS Terengganu, di samping mengukuhkan hubungan dua hala antara jentera pemuda kedua-dua negeri.
Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih Asshubrawi berkata, kerjasama erat ini bukan sekadar simbolik, tetapi akan menjadi pemangkin kepada gerak kerja yang lebih tersusun dan bertenaga menuju PRU ke-16 nanti.
“Kita hadir bukan sekadar untuk memeriahkan HIMPIT, tetapi untuk menyerap semangat juang Pemuda Terengganu dan menyuntik tenaga baharu dalam usaha kita menawan semula Pahang daripada tangan UmDAP Pahang,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa jentera Pemuda PAS Pahang kini sedang diaktifkan sepenuhnya, dengan latihan, penyelarasan, dan program-program strategik akan diperhebatkan dari masa ke semasa.
Kerjasama rentas negeri ini dilihat sebagai tanda kesatuan dan kesungguhan dalam perjuangan PAS untuk mengembalikan pemerintahan negeri kepada tangan yang benar-benar memperjuangkan Islam dan kebajikan rakyat. – HARAKAHDAILY 1/6/2025












