Ulamak PAS syor perkasakan negara kerjasama Islam D8

Cipta keseimbangan kuasa pertahan Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyelar kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenai ‘clean out’ yang ditujukan terhadap rakyat Palestin.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, apa yang diungkapkan beliau seolah-olah membawa kepada maksud penghapusan etnik.

- Advertisement -

Atau setidak-tidaknya kata beliau, ‘menghalau’ secara halus penduduk Palestin keluar daripada negara mereka sendiri dan disuruh menetap di Jordan atau Mesir.

“Ucapan sedemikian secara tidak langsung akan merosakkan perjanjian gencatan senjata yang baharu sahaja memasuki fasa kedua.

“Proses ‘redevelopment’ (pembangunan semula) Gaza yang berada pada fasa ketiga gencatan senjata seharusnya digerakkan oleh dunia Islam itu sendiri.

“Bukan daripada pihak yang mencipta genosid pada awalnya,” ujar Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam satu kenyataan.

Dewan Ulamak jelasnya. mengharapkan Kerajaan Malaysia khususnya melalui Kementerian Luar agar menyatakan bantahan secara terbuka dan menggunakan sepenuhnya laluan diplomatik.

Umat Islam serunya, harus menghalang usaha mengetengah semula perancangan tempang dan jahat ‘The Deal of Century 2020’ yang lebih banyak merosakkan daripada memperbaiki keadaan.

“Tambahan lagi, sudah sampai masanya kerjasama negara D8 diperkukuhkan bagi mencipta keseimbangan kuasa dalam membela masa depan Palestin.

“Kita sendiri yang harus bersama-sama memikul tanggungjawab dalam membela umat Islam Palestin pasca genosid 7 Oktober 2023,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

- Advertisement -