PAS Selangor kecam cadangan AS ambil alih Gaza

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Selangor mengecam sekeras-kerasnya kenyataan terbaru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mencadangkan bahawa negara itu harus ‘mengambil alih dan memiliki Gaza’ sebagai sebahagian daripada ‘rancangan pembangunan semula’.

- Advertisement -

Pesuruhjayanya, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, kenyataan itu bukan sahaja melanggar prinsip kedaulatan sesebuah negara, malah merupakan satu bentuk penjajahan moden bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Gaza adalah wilayah Palestin yang berdaulat dan merupakan hak mutlak rakyat Palestin. Cadangan Trump ini jelas menunjukkan sikap imperialisme yang tidak menghormati perjuangan rakyat Palestin.

“Untuk kebebasan dan hak mereka yang telah lama dinafikan oleh rejim Zionis Israel dengan sokongan kuasa besar seperti Amerika Syarikat. PAS Selangor menegaskan bahawa penyelesaian bagi Gaza bukanlah dengan campur tangan kuasa luar.

“Tetapi dengan mengembalikan hak penuh rakyat Palestin ke atas tanah air mereka serta menghentikan segala bentuk penindasan dan kezaliman yang telah berlarutan sekian lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras menyeru semua pihak untuk menolak sebarang usaha penjajahan baharu ke atas Palestin.

“Sehubungan itu, PAS Selangor menyeru semua pihak khususnya negara-negara Islam dan masyarakat antarabangsa, untuk menolak sebarang usaha penjajahan baharu ke atas Palestin serta terus memperjuangkan keadilan dan hak kebebasan buat rakyat Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

- Advertisement -