Monopoli pasaran beras punca kilang Bumiputera ‘gulung tikar’

Kilang Dibuk Sdn Bhd 'terpaksa' menutup operasi selepas 57 tahun. (FOTO Utusan)
- Advertisement -

AKHIRNYA selepas 57 tahun beroperasi, kilang padi terbesar milik Bumiputera bakal melabuhkan ‘tirai’ selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian berjumlah jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kilang Dibuk Sdn Bhd, yang sebelum ini memberi kemudahan kepada lebih 10,000 petani untuk menjual hasil tuaian mereka, kini berada di ambang penutupan akibat tekanan kenaikan harga belian padi yang tinggi, sedangkan harga beras masih kekal rendah.

Dalam tempoh dua tahun sahaja, kilang padi diusahakan oleh Marzukhi Othman, tokoh yang cukup dikenali dalam industri padi di Perlis telah mengalami kerugian melebihi RM10 juta melibatkan semua tiga kilang miliknya.

Dua daripada tiga kilang itu sudah menamatkan operasi, manakala sebuah lagi bakal ditutup dalam masa terdekat.

Semua kilang di bawah Dibuk Sdn Bhd mampu memproses sehingga 30,000 tan metrik padi setiap musim dan melibatkan tenaga kerja seramai 78 orang.

- Advertisement -


Ironinya isu membabitkan golongan pesawah bukan isu baharu, kerana konflik ‘permainan harga padi’ telah bermula sejak lima tahun lalu apabila terdapat penurunan mendadak pengilang beras Bumiputera daripada 300 kepada 60 sahaja di seluruh Malaysia.

Spekulasi mengatakan kilang padi milik orang Melayu berisiko pupus dan ditutup bukan lagi ‘cakap-cakap kosong’.

Menurut Institut Penyelidikan Khazanah, hal ini disebabkan pengilang Bumiputera hanya mewakili 14 peratus daripada pasaran pengilang padi tempatan setakat 2017, manakala Padi Beras Nasional (BERNAS) bersama syarikat usaha sama (JV) menguasai 48 peratus, diikuti pengilang swasta yang memegang 38 peratus .

Dalam laporan diterbitkan FOKUS, ia mendedahkan hanya 11 kilang Melayu yang masih hidup di dalam pasaran.

Hal ini disebabkan penguasaan modal oleh pengilang besar dan tiada kawalan kapasiti pembelian padi oleh kerajaan. Dalam sumber Utusan Malaysia pula mengatakan bahawa pengilang besar mampu membeli padi dalam kapasiti yang lebih besar dengan harga satu tan metrik jauh melangkaui harga siling.

Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Mohamad Termizi Yop mendakwa pengilang Bumiputera di Kedah dilaporkan hanya tinggal dua sahaja sementara kebanyakan daripada mereka yang terpaksa gulung tikar akibat monopoli pengilang besar.

Hal ini menimbulkan kegusaran umum bahawa pengilang beras Melayu selepas pada masa hadapan mungkin tidak akan mampu lagi untuk bertahan lama di dalam industri beras seterusnya ‘melupuskan’ mereka terus daripada industri ini.

Mohamad Termizi berkata, pihaknya merayu kerajaan memperuntukkan kuota belian padi setiap kilang di seluruh negara kepada had maksimum 20,000 tan metrik sahaja pada setiap musim.

Katanya, perkara itu bagi membolehkan setiap kilang mendapat peluang belian padi yang sama rata, sekali gus membantu pengoperasian pengilang beras Bumiputera.

“Sekarang tiada kuota ditetapkan, ada pengilang yang terima belian padi antara 40,000 dan 60,000 serta 70,000 tan metrik. Apabila pengilang gergasi gagal mendapat belian padi yang mencukupi mereka mengupah broker untuk cari padi di tempat lain mengakibatkan berlaku pindahan belian padi.

“Sedangkan di kawasan tersebut ada juga kilang padi kecil yang perlu berniaga, jadi bila kita had 20,000 tan metrik semua kilang akan dapat sama rata, jadi kurang tawar menawar (broker),” katanya memetik Utusan Malaysia.

Memetik Harian Metro, isu kemerosotan operasi kilang padi Bumiputera hingga berisiko ‘gulung tikar’ bukan sekadar berpunca daripada kos operasi tinggi, tetapi turut dipengaruhi struktur pasaran tidak seimbang dan dikuasai pemain industri lebih besar.

Bendahari Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah), Muhamad Rafirdaus Abu Bakar berkata, banyak kilang padi Melayu terikat dengan pemborong dan peruncit bukan Bumiputera, yang menguasai sebahagian besar rangkaian pengedaran beras di Malaysia.

“Realitinya, kilang Melayu pun menjual beras kepada pemborong Cina. Mereka juga terpaksa mengambil modal daripada taikun-taikun besar ini, menyebabkan mereka terikat dengan harga yang ditentukan,” katanya.

“Satu daripada faktor utama yang menyebabkan kilang Melayu tidak dapat bersaing secara terbuka adalah permainan harga di pasaran.

“Sebagai contoh, BERNAS (Padi Beras Nasional Berhad) membeli padi pada harga RM1,200 dengan menawarkan komisen lori yang murah. Ini menyebabkan ramai pengusaha tidak berminat menghantar padi kepada mereka, sama seperti yang berlaku kepada kilang Melayu lain,” katanya.

Terdahulu media melaporkan manipulasi beras tempatan menjadi beras import menyebabkan sebuah kilang padi Bumiputera terbesar di Perlis yang sudah beroperasi sejak 57 tahun lalu semakin ‘tenat’ untuk meneruskan operasi pemprosesan padi.

Kilang Dibuk Sdn Bhd yang terletak di Jalan Kangar-Alor Setar di Simpang Empat, di sini, berkemungkinan ‘gulung tikar’ kerana terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – HARAKAHDAILY 6/2/2025

- Advertisement -