
KUALA LUMPUR: Analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 9 Februari 2025.
Ketua Pengarah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan lebat dan berterusan di Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, katanya MET Malaysia telah mengemas kini Amaran Hujan Berterusan (Buruk & Waspada) melibatkan Sabah dan Sarawak berkuat kuasa sehingga 8 Februari 2025.
“Hujan lebat berterusan (buruk) dijangka berlaku di negeri Sarawak yang melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu) dan Mukah sehingga Jumaat, 7 Februari ini.
“Manakala hujan berterusan (waspada) turut dijangka berlaku di negeri Sarawak iaitu di Sri Aman (Sri Aman), Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau), Bintulu dan Miri (Subis dan Miri) sehingga Jumaat, 7 Februari ini.
“Selain itu, hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Sabah, melibatkan kawasan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga Sabtu, 8 Februari ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan telah dikeluarkan dan berkuat kuasa sehingga 9 Februari 2025.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2025











