Jual harga rendah, beli harga premium – MCW

Saham MAHB oleh KWSP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa menjalankan siasatan penjualan saham MAHB oleh KWSP pada harga rendah sebelum membeli pada harga premium.

- Advertisement -

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Karim berkata, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bertanggungjawab untuk mengurus dana 16 juta ahlinya dengan penuh telus dan berhemah.

“Kerugian RM500 juta akibat keputusan pelaburan yang kelihatan bercanggah dengan logik pasaran mesti dijelaskan kepada umum. Isu ini mencetuskan persoalan serius tentang integriti dan kecekapan pengurusan maklumat.

“(Juga) terhadap proses membuat keputusan dalam KWSP. Dakwaan kemungkinan wujudnya perdagangan orang dalam (insider trading) tidak boleh dipandang ringan.

“Jika benar terdapat perjanjian sulit antara pihak-pihak tertentu, ia menunjukkan kelemahan kawalan dalaman dan potensi salah guna kuasa. SPRM perlu menyiasat.

“Sama ada terdapat unsur jenayah yang melibatkan individu atau entiti tertentu dalam urus niaga ini,” katanya dalam kenyataan berhubung kontroversi saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurut Jais, KWSP mengurus dana hasil titik peluh rakyat Malaysia dan sebarang keputusan yang menjejaskan dividen ahli perlu dinilai secara kritikal, kerana ia melibatkan hak ekonomi rakyat.

“Kerugian sebesar RM500 juta berpotensi memberi kesan langsung kepada kadar dividen yang diagihkan, dan ini bertentangan dengan objektif KWSP untuk memaksimumkan pulangan pelaburan ahli.

“MCW menyeru KWSP untuk mengkaji semula mekanisme kawalan dan pemantauan pelaburan, termasuk memperkukuh pengurusan risiko dan meningkatkan ketelusan dalam proses membuat keputusan.

“KWSP juga harus memastikan bahawa semua pelaburan dibuat berdasarkan prinsip yang mengutamakan kepentingan ahli,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/1/2025

- Advertisement -