Adakah Sabtu ini menjadi hari terakhir serangan ganas Israel?

- Advertisement -

SEJAK diumumkan persetujuan gencatan senjata Khamis lalu, Israel masih membunuh 123 orang awam dan mencederakan ratusan yang lain di Gaza hingga Sabtu. 

- Advertisement -

Biarpun gencatan senjata itu akan bermula pada Ahad 19 Januari, namun Israel kelihatan tiada kesediaan untuk menghentikan jenayah genosid yang mereka lakukan selama 470 hari. 

Sepanjang Sabtu, hari terakhir sebelum berkuatkuasanya larangan serangan, Israel masih melakukan beberapa siri serangan di Gaza menyebabkan kematian dan kecederaan seperti hari-hari sebelumnya. 

Di wilayah Saftawi, Utara Gaza  tentera Israel terus mengebom rumah-rumah kediaman.

Beberapa orang dilaporkan cedera dalam serangan terhadap rumah keluarga Abdul Wahid di Nusairat Tengah Gaza. 

Beberapa rumah di Timur dan Barat Jabaliya turut dibedil pada pagi Sabtu. 

Di bahagian Timur Khan Yunus, lima individu dari sebuah keluarga terbunuh apabila khemah tempat mereka berteduh menjadi sasaran serangan Israel.

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Kamal Ziyad al-Qadirah dibunuh bersama isteri dan anak-anaknya berdekatan Masjid Al Hidayah, Utara bandar Khan Yunus. 

Seorang wanita dilaporkan cedera terkena tembakan tentera Israel dari sebuah motobot di pantai berdekatan Khan Yunus.

Adakah serangan-serangan bacul terhadap orang awam ini benar-benar akan dihentikan pada hari ini (Ahad 19 Jan 2025).

Media antarabangsa melaporkan pimpinan rejim Zionis Israel sendiri berbelah bahagi dalam menerima perjanjian gencatan senjata tajaan Qatar ini. 

Netanyahu seperti menerimanya dalam keterpaksaan akibat desakan dari rakyatnya sendiri. 

Menolak perjanjian ini dikira jalan yang tidak selamat untuk survival politiknya yang semakin goyah. 

Menteri Pertahanannya, Itamar Ben-Gvir pula bukan sekadar menolak, bahkan mengugut akan keluar dari kabinet Netanyahu sekiranya perjanjian itu diteruskan. 

Menurutnya, menghentikan peperangan adalah merupakan satu kegagalan bagi misi Israel untuk menghapuskan HAMAS. 

Menurutnya isu tawanan Israel di tangan HAMAS perlu ditangani dengan cara meneruskan serangan dan menyekat segala bentuk bantuan kemanusiaan. 

Sehingga hari ke 470 serangan, Israel telah membunuh 46,876 orang di Gaza dan mencederakan 110,642 orang.

ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 19/1/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -