
KOMTAQ Batu Enam Kuala Nerus menyala serta menggebu dengan semangat peserta-peserta Liqa Fikri mendengar pengisian Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang lewat isu pelaksanaan Islam dengan kuasa pemerintahan peringkat negeri.
Berlokasikan KOMTAQ Batu Enam, sehamparan tanah di Kuala Nerus ini merupakan pengkalan PAS semenjak dekad 1980an dengan tokoh ideologue, Tuan Guru Awang Nasrudin Abu Bakar yang juga datuk kepada Ustazah Asma’ Harun. Dilahannya, berdiri kompleks pendidikan dan Masjid at Taqwa yang menjadi pusat ilmu dan perkaderan.
Batu Enam adalah lambang keteguhan tekad ahli-ahli PAS dalam memperjuangkan matlamat harakah Islam; FRU yang datang menggempur program pernah ‘dihalau’ oleh anak-anak muda kampung ini.
Liqa Fikri kali ini berlangsung dalam euforia gembira dengan wajah-wajah teruja mengunyah kalam berharga Presiden PAS. Menurut Tuan Guru, kemerdekaan Malaya telah dirancang oleh penjajah mewujudkan sekatan dalam Perlembagaan yang menghalang pelaksanaan Islam sepenuhnya.
Suruhanjaya Reid dianggotai oleh pakar perlembagaan dengan licik mengatur agar Islam tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna selepas mendapat kemerdekaan.
Dalam denai sejarah pasca kemerdekaan, fahaman sekularisme subur akibat penjajahan, bahkan mengheret konflik PAS-Umno.
Perjuangan Islam menekankan pendekatan damai, berperingkat (tadarruj) dan fleksibel (murunah). Tuan Guru mengisahkan ibroh daripada perang Khaibar iaitu Rasul SAW menyuruh Saidina Ali mengajak lawan kepada Islam sebelum beradu kekuatan di gelanggang. Rasulullah SAW menekankan soal perdamaian serta usaha menyelamatkan mereka di akhirat.
Perjuangan Islam memerlukan kesabaran yang tinggi. Kejayaan dakwah memerlukan kesabaran dan pengorbanan, dengan usaha untuk menarik lebih ramai kepada Islam sebagai keutamaan. Jauhi sikap ekstrem, ghuluw serta gopoh untuk melihat kemenangan sedangkan usaha kita masih minimal. Jauhi juga sikap liberal, bermudah-mudah sehingga ada yang takut untuk menyebut Islam, malah menyalahgunakan pendekatan sir (rahsia). Jika kita tidak berani berterus terang menyatakan kebenaran Islam maka bagaimana masyarakat akan mengenali tentang Islam?
PAS istiqamah menyatakan kebenaran tanpa lelah, melalui ranjau berliku bahkan berjaya menarik sokongan masyarakat sehingga berjaya menghantar paling ramai anggota legislatif di Parlimen dan DUN seluruh negara.
Tuan Guru mengingatkan para peserta Liqa Fikri tentang kewajiban menambah baik aspek membantu kebajikan rakyat. Jangan kelembapan jentera kita menyebabkan PAS diremehkan. Jangan dilihat PAS tidak mampu menyaingi Umno, malah diremehkan lebih teruk daripada Umno dalam memberikan kebajikan kepada rakyat.
Presiden PAS mengingatkan seluruh pimpinan PAS Terengganu agar berusaha untuk melaksanakan Islam secara berperingkat. Kondisi PAS jauh lebih beruntung jika hendak diukur dengan gerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin, FIS di Algeria, MASYUMI di Indonesia serta lain-lain gerakan Islam.
Abnaul harakah wajib memahami keupayaan PAS, berusaha melaksanakan perintah Allah mengikut kemampuan dan bidang kuasa negeri, selaras dengan kaedah fiqh: “Apa yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya jangan ditinggalkan keseluruhannya.”
Era tamkin adalah fasa penting dalam perjuangan untuk merealisasikan matlamat perjuangan kerana semua ini akan dipertanggungjawabkan kepada kita di hadapan Rabbul Jalil.
Walaupun Malaysia mengamalkan konsep federalisme, dengan bidang kuasa kerajaan negeri terbatas, ruang tetap perlu dimanfaatkan untuk melaksanakan syariat Islam dengan tahapan tertentu.
Semenjak negara kita mencapai kemerdekaan daripada British, PAS berjaya menanamkan kesedaran terhadap Islam di peringkat negeri dan kawasan. Zaman itu ialah era ‘the blue eyes mentality’, era pembaratan sehingga merubah sakhsiah umat Islam serta pandangan mereka terhadap Islam yang syumul.
Sebelum kolonialisme, kelompok aristokrat mendalami ilmu-ilmu agama sehingga mereka fakeh namun dengan kedatangan penjajah golongan aristokrat mula diperkenalkan dengan pendidikan Barat. Begitu juga dengan seluruh sendi kehidupan masyarakat sehingga menebar kefahaman sekularisme yang menebal di kalangan masyarakat Melayu.
PAS sebagai gerakan Islam syumuliah terus membadai perjuangan, berdepan dengan kejahilan masyarakat yang dahsyat sehingga meremehkan Syariat Islam. Menurut Tuan Guru, Almarhum Dato’ Asri pernah meminta beliau membuat kertas kerja bertajuk ‘Batas-batas iman dan kufur‘ untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat Melayu peri pentingnya menjaga kemuliaan syahadah.
Perjuangan PAS lebih tujuh dekad menghadapi cabaran dalaman (kejahilan umat Islam) dan luaran (musuh Islam). Mehnah dan tribulasi ini semakin mematangkan PAS sehingga menjadi jamaah Islam yang matang, wasatiah, teruji dengan pelbagai bentuk tekanan serta ujian.
Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengakhiri sesi soal jawab dengan peserta-peserta Liqa Fikri dengan membuat penegasan bahawa pentadbiran Islam di negeri Terengganu perlu menjadi model bersih, adil, dan berkebajikan.
Majlis besar persiapan fikrah anjuran Lujnah Tarbiah dan perkaderan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) ini juga turut menyaksikan gimik pelancaran Kompleks Muassasah Darul Quran Terengganu yang bakal menjadi pangkalan tajnid terbesar di negeri pangkalan kuasa PAS ini.
DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 19/1/2025











