WBB tak berpihak kepada kebajikan doktor – Dr Yunus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disifatkan sebagai langkah yang tidak memihak kepada kebajikan petugas kesihatan khususnya doktor. 

- Advertisement -

Ketua Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sistem WBB yang diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad, dilihat mengandungi kelemahan ketara.

Termasuk katanya, kadar elaun lebih masa tidak berpatutan, kelayakan ‘on-call’ dihadkan kepada hujung minggu, dan ketiadaan elaun tambahan untuk doktor bertugas pada waktu malam khususnya daripada jam 12 malam hingga 9 pagi pada hari biasa. 

“Situasi ini menunjukkan kekurangan perhatian terhadap hak dan kebajikan semua penjawat awam kesihatan. KKM perlu mengambil langkah lebih konkrit dengan meningkatkan kadar elaun ‘on-call’ bagi mencerminkan pengorbanan dan beban kerja doktor di sektor awam.

“Di samping itu, usaha meningkatkan pengambilan serta pengekalan petugas kesihatan wajar dijadikan keutamaan bagi mengurangkan beban tenaga kerja sedia ada sekali gus meningkatkan kualiti penjagaan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu turut menyifatkan sistem WBB itu dilihat tidak lebih daripada sekadar satu langkah penjimatan kos oleh pihak kementerian, yang disembunyikan di sebalik janji untuk meningkatkan kualiti kerja petugas kesihatan.

Beliau berkata hakikatnya, sistem itu tidak hanya gagal mengurangkan beban kerja, tetapi ia juga menafikan hak petugas kesihatan untuk menerima elaun lebih berpatutan dan memberi tekanan fizikal terhadap doktor yang telah sedia terbeban. 

“Persoalannya, mengapa Menteri Kesihatan dan KKM tidak mengambil pengajaran dalam mambuat apa juga dasar atau polisi baru dengan mengadakan sesi libat urus dengan pihak yang berkepentingan terlebih dahulu?

“Penambahan waktu bekerja kepada jururawat tempoh hari, setelah mendapat bantahan barulah diadakan sesi libat urus dengan pihak persatuan dan lain-lain agensi.

“Begitu juga apabila dasar yang dibuat ini mendapat bantahan barulah sesi libat urus diadakan, dan ia menyebabkan banyak suara yang tidak berpuas hati serta mengakibatkan lebih ramai aliran keluar penjawat di dalam KKM yang sedang kritikal ketika ini,” katanya.

Dr Ahmad Yunus menyeru KKM untuk mengkaji semula sistem tersebut secara mendalam dengan melibatkan pandangan semua petugas kesihatan di setiap peringkat.

Beliau menegaskan bahawa setiap dasar yang diperkenalkan perlu menyelesaikan permasalahan sebenar petugas kesihatan dan menjamin kebajikan mereka secara menyeluruh. – HARAKAHDAILY 19/1/2025

- Advertisement -