
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan hari Krismas dan cuti hujung tahun ini, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Malaysia Berhad telah mengaktifkan laluan Smartlane di 25 lokasi tumpuan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan bermula semalam hingga 2 Januari 2025.
Syarikat konsesi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, lorong kecemasan sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan bagi mengoptimumkan penggunaan semua lorong dan meningkatkan kapasiti di laluan kritikal lebuh raya.
“Ketika Smart Lane diaktifkan, lorong kecemasan yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuh raya.
“Layari pautan berikut untuk mengetahui lokasi, tarikh serta masa pengaktifan lokasi Smart Lane di Lebuhraya PLUS sepanjang musim perayaan Krismas dan cuti hujung tahun untuk kali ini: https://shorturl.at/Azt8n,” katanya.
Dalam pada itu PLUS menjangkakan peningkatan trafik mencecah sehingga 2.12 juta kenderaan sehari berbanding 1.85 juta pada hari-hari biasa.
Sehubungan itu, PLUS telah membuat persediaan untuk menguruskan peningkatan trafik melalui pelbagai pendekatan bagi membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa.
“Antara langkah yang diambil adalah meningkatkan rondaan pasukan PLUSRonda di sepanjang lebuh raya untuk memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.
“Selain itu, PLUS juga akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan jalan dari 20 Disember 2024 hingga 2 Januari 2025, kecuali bagi kerja-kerja kecemasan yang memerlukan tindakan segera demi keselamatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/12/2024











