
KETEREH: Seramai 47 pengidap kanser di Tumpat, Pasir Mas dan Kota Bharu yang terjejas dengan banjir baru-baru ini mendapat perhatian Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).
Pengurus Program Kanser NCSM, Mohd Fadzrel Abu Bakar berkata, pihaknya bersama Himpunan Kanser Se-Malaya (HKS) melaksanakan misi tersebut tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad.
Menerusi kerjasama itu kata beliau, NCSM dapat mengenalpasti pesakit kanser dari pelbagai usia yang amat memerlukan tumpuan termasuk pemakanan, Oral Nutritional Support (ONS).
“Jadi kita turun hari ini bersama HKS, NCSM turun dengan bantuan yang bukan sahaja daripada sumbangan orang ramai tetapi juga sumbangan khusus daripada syarikat-syarikat swasta.
“Alhamdulillah kita dapat kumpul sehingga RM25,000, daripada hasil sumbangan ini untuk kita bantu sedaya mungkin serah sumbangan kepada pesakit kanser di Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat salah seorang pesakit kanser Neuroblastoma yang berusia tiga tahun di kediamannya di Kampung Binjai Limat, di sini pagi semalam.
Dalam pada itu seramai 15 sukarelawan iaitu enam orang dari HKS dan selebihnya warga NCSM menyertai misi menyerahkan misi bantuan kepada pesakit kanser yang terjejas akibat banjir.
Rombongan NCSM dan HSK hadir menyerahkan sumbangan kepada Putra Ibrahim Nik Soh berusia tiga tahun yang didapati mengidap kanser saraf tersebut sejak usianya tiga bulan.
Mohd Fadzrel berkata, neuroblastoma boleh berlaku sejak lagi dengan umur yang paling lazim antara dua hingga tiga tahun dan jarang terjadi kepada kanak-kanak berusia selepas 10 tahun.
Malah katanya, ketumbuhan kanser berasal daripada sel primitif atau pra matang yang dikenali neuroblast itu, dikesan paling banyak berlaku membabitkan golongan berusia di bawah lima tahun. – HARAKAHDAILY 21/12/2024












