Kelantan dicadang bina rumah transit pesakit kanser

- Advertisement -

KETEREH: Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) mencadangkan agar sebuah rumah transit bagi memudahkan pesakit kanser mendapat rawatan dapat dibina di Kelantan.

- Advertisement -

Pengurus Program Kanser NCSM, Mohd Fadzrel Abu Bakar berkata, Kelantan mempunyai ramai pakar perubatan yang memudahkan lagi prasarana tersebut disediakan.

Beliau berkata, semua pihak perlu bekerjasama mencapai hasrat itu berdasarkan perangkaan semasa, pesakit kanser di negara dijangka terus meningkat saban tahun.

“Kami bercadang pada masa hadapan kalau ada rezeki dalam perancangan NCSM, dengan bantuan kerajaan negeri dan Persekutuan, kalau boleh setiap negeri kena ada rumah transit ini.

“Saya rasa disini ada banyak peluang sebab Hospital Raja Perempuan Zainab II ada pakar, begitu juga Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia pun ada ramai pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat salah seorang pesakit kanser Neuroblastoma yang berusia tiga tahun di kediamannya di Kampung Binjai Limat, di sini pagi semalam.

NCSM dengan kerjasama Himpunan Kanser Se-Malaya (HKS) menganjur misi bantuan banjir kepada 47 pengidap kanser yang terjejas akibat banjir di Pasir Mas, Tumpat dan Kota Bharu.

Mohd Fadzrel berkata, selain Kelantan beberapa negeri termasuk Terengganu, Perlis, Kedah, Pahang, Melaka Negeri Sembilan dan Sabah yang belum menyediakan kemudahan tersebut.

NCSM hanya menyediakan perkhidmatan itu di Kuala Lumpur, Perak dan bakal dibuka di Pulau Pinang sementara Johor diurus iaitu Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

“Sementara di Melaka kami ada pejabat tetapi tiada rumah, Johor insyaAllah kami ada pusat sokongan tetapi kami tidak ada rumah transit sebab ada sebuah yayasan yang bantu kami.

“Sarawak mereka kendali sendiri dibawah kerajaan negeri mereka, jadi saya harap pada satu hari nanti kita akan mencapai hasrat ini semua negeri ada kemudahan rumah transit,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/12/2024

- Advertisement -