
KUALA LUMPUR: DHPP menyifatkan pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat ekonomi oleh PMX sebagai amalan kebiasaan pentadbiran beliau yang tidak mementingkan prinsip, malah sanggup mengabaikan isu kredibiliti demi kuasa.
Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) menyatakan bahawa itu bukan kali pertama Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) melantik pemimpin yang mempunyai sejarah jenayah.
“Semasa beliau melantik Timbalan Perdana Menteri 1, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau mempunyai 47 kes di atas nama beliau. Namun, PMX tidak endah tentang kes demi kuasa.
“Laungan Reformasi sudah lama menjadi ‘Reformati’. Oleh itu, pelantikan ini tidak mengejutkan kerana ini amalan kebiasaan PMX kita,” ujarnya dalam satu kenyataan.
DHPP turut memberi sorotan mengenai kontroversi jenayah yang pernah dilakukan oleh Thaksin sewaktu menjadi Perdana Menteri Thailand antara 2001 hingga 2006.
Menurutnya, Thaksin didakwa menyalahgunakan kuasa untuk menguntungkan empayar perniagaannya, termasuk syarikat telekomunikasi Shin Corporation yang dimiliki oleh beliau dan keluarganya.
Thaksin juga katanya, mengamalkan nepotisme dengan melantik ahli keluarga serta sekutu rapatnya ke jawatan penting dalam kerajaan.
Kedua menurutnya, dalam pentadbiran Thaksin, beliau telah melancarkan ‘perang terhadap dadah’ pada tahun 2003 dengan tujuan untuk menghapuskan perdagangan dadah di Thailand.
Namun jelasnya, operasi itu menyaksikan 2,500 individu mati dibunuh tanpa proses undang-undang, termasuk mereka yang tidak terbukti bersalah.
Tindakan itu katanya, mendapat kritikan hebat daripada organisasi hak asasi manusia antarabangsa seperti Amnesty International.
Thaksin ulasnya, turut dikritik kerana cuba mengawal media di Thailand dengan hanya membenarkan naratif yang menyokong pentadbirannya, walaupun naratif tersebut tidak benar.
Tambahnya, Wilayah Selatan Thailand seperti Pattani, Yala, dan Narathiwat yang majoritinya berpenduduk Muslim menyaksikan ketegangan di bawah pentadbiran Thaksin.
Mereka berkata, peristiwa seperti tragedi Tak Bai, yang mengakibatkan kematian 85 orang, mencetuskan kemarahan rakyat di wilayah tersebut.
Menurut DHPP, pelantikan Thaksin sebagai penasihat ekonomi oleh PMX membawa persoalan besar mengenai kredibiliti pentadbiran beliau.
“Banyak perkara beliau melakukan penindasan terhadap rakyat Thailand.
“Seorang yang gagal sebagai pemimpin tidak boleh menjadi penasihat yang baik,” tegas kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 18/12/2024











