ADUN Beserah bantu keluarga pendapatan rendah

Andansura menyerahkan baucar kepada penerima diadakan di kaki lima pasaraya pada Isnin lalu
- Advertisement -

KUANTAN: Seramai 20 keluarga dari kawasan sekitar Balok menjadi penerima pertama baucar tunai bernilai RM100 setiap satu, yang disediakan di bawah Tabung Prihatin Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah. 

- Advertisement -

ADUN Beserah, Dato’ Andasura Rabu berkata, langkah itu merupakan pendekatan baharu yang lebih memenuhi keperluan penerima berbanding sumbangan dalam bentuk barangan dapur yang biasa diberikan sebelum ini.

“Rata-rata mereka dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah, tidak menentu dan tinggi tanggungan. Pihak saya aturkan satu sesi ringkas penyampaian baucar tersebut di kaki lima Pasaraya Irsyad, Balok, pada Isnin kelmarin.

“Mereka kemudiannya membuat pembelian mengikut keperluan masing-masing,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Beliau turut menyatakan rasa syukur diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Terima kasih kepada pihak-pihak yang memberikan kepercayaan kepada pihak saya untuk mengagihkan infaq dan sumbangan mereka kepada masyarakat melalui tabung prihatin yang kami usahakan.

“Semoga membawa rahmat dan keberkatan yang berpanjangan daripada Allah serta dapat meringankan sedikit beban hambatan hidup keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/12/2024

- Advertisement -