
KOTA BHARU: Keputusan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat peribadi bagi Kepengerusian ASEAN 2025 mencetuskan kontroversi.
Langkah itu dianggap luar biasa memandangkan rekod kontroversi Thaksin yang pernah terpalit dengan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Pelantikan itu juga turut menimbulkan persoalan moral memandangkan Thaksin dikaitkan dengan insiden Peristiwa Tak Bai pada 2004, di mana 85 penunjuk perasaan Muslim maut akibat kekerasan pihak berkuasa Thailand.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Negeri Kelantan hari ini, pelantikan tersebut disifatkan sebagai bercanggah dengan prinsip ASEAN yang mempromosikan keamanan dan hak asasi manusia.
“Bagaimana seorang tokoh yang mempunyai rekod buruk seperti Thaksin boleh dilantik untuk memegang peranan penting dalam diplomasi serantau? Keputusan ini menimbulkan tanda tanya terhadap komitmen ASEAN terhadap integriti dan tadbir urus baik,” tegas kenyataan itu.
Lajnah tersebut turut mempersoalkan bagaimana rakyat Malaysia, khususnya di Kelantan yang mempunyai hubungan budaya dan etnik dengan masyarakat Selatan Thailand, akan menerima pelantikan ini.
Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan Thaksin sebagai penasihat ASEAN menunjukkan seolah-olah kepentingan peribadi mengatasi keperluan sebenar ASEAN.
Jelas kenyataan tersebut, kritikan turut dilontarkan terhadap rasional di sebalik pemilihan Thaksin, memandangkan ASEAN mempunyai ramai pakar hubungan antarabangsa yang lebih berkaliber.
“Adakah tiada individu lain yang lebih layak dari kalangan diplomat atau akademik serantau untuk membantu Malaysia dalam memimpin ASEAN?” soal kenyataan tersebut.
Langkah ini juga tambahnya, dilihat mencetuskan persepsi negatif bahawa ia mungkin sekadar gimik politik daripada Anwar Ibrahim untuk menonjolkan dirinya sebagai pemimpin global.
Lajnah itu menyeru kerajaan memberikan penjelasan segera mengenai keputusan ini demi memastikan ia tidak mencalarkan imej Malaysia dan ASEAN.
“Pelantikan ini perlu dikaji semula kerana ia berisiko mencetuskan implikasi diplomatik yang tidak diingini,” tambah kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 18/12/2024











