Sumbangan dari selatan bantu mangsa di utara

Banjir

- Advertisement -

PADANG TERAP: Jarak jauh dan sempadan daerah bukanlah pemisah semangat keprihatinan sebagaimana ditunjukkan pihak ADUN Kuala Ketil, Baling di selatan negeri ini terhadap mangsa banjir di bawah ADUN Pedu, di sini yang terletak di utara Kedah.

- Advertisement -

Sebanyak 100 pek makanan keperluan harian disumbangkan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil kepada mangsa banjir di Felda Lubuk Merbau, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, sumbangan itu bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir, tetapi sebagai tanda kemanusiaan kepada yang menerima musibah.

“Selain barangan keperluan harian, kami juga menyumbang wang tunai sebanyak RM3,000 kepada PKWR DUN Pedu sebagai bantuan untuk mereka sediakan sumbangan kepada mangsa yang terjejas,” kata beliau, ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Ujar Mansor, pihaknya juga menyumbang RM500 kepada PASTI Ulul Azmi yang dijadikan tempat operasi Dapur Rakyat, menyediakan makanan untuk mangsa banjir sekitar Felda berkenaan.

“Sebelum ini ada juga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai tetapi sekarang dah ditutup.

“Tetapi dalam masa yang sama sukarelawan khususnya dari PAS buka juga Dapur Rakyat di PASTI Ulul Azmi untuk membantu menyediakan makanan untuk mangsa banjir,” tambah beliau yang juga Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Dalam pada itu, beliau dimaklumkan kejadian banjir yang berlaku hujung bulan lepas, telah menjejaskan hampir 100 buah rumah di Felda berkenaan.

Walau bagaimanapun katanya, air telah surut serta keadaan semakin pulih dan mangsa kejadian juga pulang ke rumah masing-masing.

Majlis serahan pek makanan yang turut dihadiri ADUN Pedu, Mohd Radzi Mat Amin diadakan di PASTI Ulul Azmi dan sebahagiannya di serahkan di kediaman mangsa banjir. – HARAKAHDAILY 9/12/2024

- Advertisement -