Kemalangan kerap terjadi di simpang tiga Kg Kelar

- Advertisement -

PASIR MAS:Hasil aduan masyarakat, pihak Pusat Khidmat DUN Chetok mengambil langkah proaktif memohon JKR Pasir Mas memasang lampu jalan di simpang tiga menghubungkan Kampung Kelar ke Sekolah Kebangsaan Kelar.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah berkata, lokasi ini dikenal pasti kerap berlaku kemalangan, termasuk insiden maut yang membimbangkan.

Katanya, aduan turut dikemukakan kepada Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) supaya tindakan tegas diambil terhadap lembu-lembu berkeliaran yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Menurut beliau, kejadian terbaru melibatkan seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah cedera parah apabila motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sekumpulan lembu pada 6 November lalu.

“Selain itu, kawasan ini turut menjadi lokasi segelintir anak muda menaiki motosikal secara berbahaya. Aktiviti lumba haram juga dilaporkan berlaku di kawasan tersebut, menambah risiko kepada pengguna jalan raya,” ujarnya.

Zuraidin memberitahu, simpang tiga yang menghubungkan Kampung Kelar ke Sekolah Kebangsaan Kelar sejauh 300 meter ini menjadi tumpuan isu keselamatan masyarakat setempat.

Tambah beliau, simpang ini terletak di Jalan Kampung Kelar ke Kampung Chica Tinggi sepanjang 10 kilometer, sering digunakan penduduk di situ. – HARAKAHDAILY 9/12/2024

- Advertisement -