Perlindungan takaful dicadang untuk pelabur koperasi

Wan Razali Wan Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mencadangkan agar koperasi mempertimbangkan perlindungan takaful bagi melindungi pelabur daripada kerugian dalam aktiviti perniagaan mereka. 

- Advertisement -

Beliau turut mempersoalkan sama ada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mempunyai sumber manusia yang mencukupi untuk memantau 15,000 koperasi di seluruh negara.

 “Sejauh mana kerjasama antara koperasi sendiri dengan bank-bank koperasi seperti Bank Rakyat, Bank Persatuan, dari sudut membantu koperasi dalam bentuk pembiayaan serta perkongsian ilmu pengurusan kewangan?” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Wan Razali menekankan kepentingan perancangan kewangan dan kerjasama yang erat untuk menyokong koperasi baharu serta yang tidak aktif bagi memastikan kelangsungan sektor koperasi di Malaysia.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Ramanan Ramakrishnan dalam jawapannya memberitahu, Malaysia mempunyai 16,009 koperasi berdaftar, dengan 9,823 aktif dan 1,723 tidak aktif, yang dipantau SKM melalui cawangan dan staf mencukupi.

Menurutnya, perlindungan kewangan disediakan melalui Bank Rakyat, Co-op Bank, serta tabung modal pusingan dan geran, manakala isu akaun dan pengauditan diatasi melalui bantuan kewangan serta kursus latihan.

Beliau menjelaskan, SKM juga mengambil tindakan segera terhadap aduan untuk memastikan koperasi beroperasi dengan baik.

Wan Razali dalam soalan asalnya meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan tindakan pihak Kementerian dalam mengawal koperasi yang bermasalah dari sudut pengurusan kewangan dan langkah kawalan bagi menjamin ahli koperasi dan pelabur agar tidak terjerumus dengan kerugian dalam jumlah yang besar.  – HARAKAHDAILY 9/12/2024

- Advertisement -