
KUALA LUMPUR: Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mencadangkan tempoh latihan pelatih dalam kamar diambil selama tiga bulan untuk dimanfaatkan dengan mengikuti master mereka ke mahkamah bagi memahami sistem perundangan dan cara berguam.
Beliau berkata, langkah itu penting supaya pelatih memperoleh keterampilan sebelum mengendalikan kes sendiri.
“Sepatut mereka kena ikut dulu belajar daripada masternya atau senior-senior. Selepas tiga bulan terakhir, barulah bagi mereka sendiri yang pergi ke ke mahkamah untuk buat kes,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Profesion Undang-Undang (Pindaan) 2024, Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menurutnya, jika pelatih terus dihantar ke mahkamah tanpa persediaan mencukupi, mereka berisiko menghadapi kesukaran kerana kurang pengalaman praktikal.
Zulkifly turut menyokong pindaan terhadap peraturan latihan dalam kamar sebagai langkah positif untuk memperbaiki sistem latihan sedia ada.
Bagaimanapun, beliau menimbulkan persoalan mengenai pelatih yang berlatih di firma guaman kecil atau kurang aktif dalam menangani kes.
“Macam mana pelajar-pelajar nak belajar ataupun dia hanya buat konvensi sahaja, tanpa melibatkan litigasi jenayah dan sivil. Jadi bagaimana? Itu mungkin persoalan besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/12/2024











