
DAMSYIK: Pembangkang Syria telah mengisytiharkan berakhirnya pemerintahan Bashar al-Assad di negara itu dan telah menggulingkannya, ketika mereka mara ke ibu negara yang kemudiannya menyebabkan beliau terpaksa melarikan diri.
Berikut ialah garis masa serangan pantas selama 11 hari yang membawa kepada kejatuhan Assad:
27 November
Kumpulan pembangkang melancarkan serangan mengejut ke atas tentera Syria di wilayah utara Aleppo.
28 November
Pembangkang memutuskan jaringan lebuh raya yang menghubungkan Aleppo dengan ibu negara, Damsyik.
29 & 30 November
Pembangkang membedil Aleppo dan memasuki utara bandar itu dalam serangan pantas terhadap pasukan rejim Assad.
Pesawat perang Rusia melancarkan serangan di bandar Aleppo buat pertama kali sejak 2016.
Pembangkang menguasai sebahagian besar Aleppo dalam masa sehari dan menguasai lebih 80 bandar dan kampung di utara.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov bercakap dengan rakan sejawatannya dari Iran dan Turki, menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan tahap permusuhan yang disifatkannya ‘berbahaya’.
1 Disember
Bandar Aleppo berada di luar kawalan tentera rejim Syria buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pergi ke Damsyik untuk bertemu Assad, berkata bahawa negaranya akan secara ‘tegas menyokong kerajaan dan tentera Syria’.
2 Disember
Rusia dan Iran berjanji untuk memberikan ‘sokongan tanpa syarat’ terhadap rejim Assad.
5 Disember
Kumpulan pembangkang menawan Hama, bandar keempat terbesar Syria selepas beberapa hari pertempuran sengit dengan tentera Assad.
6 Disember
Pembangkang menghampiri bandar Homs yang dikenali sebagai ‘ibu kota revolusi’ dan mendesak pasukan rejim untuk keluar.
7 Disember
Homs ditakluk sepenuhnya oleh kumpulan pembangkang.
Kementerian Pertahanan rejim Assad menafikan berita pengunduran tenteranya dari Damsyik.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata Syria penat dengan ‘peperangan, darah dan air mata’.
8 Disember
Tentera rejim dan beberapa pasukan lain menarik diri dari Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik selepas Assad dilaporkan melarikan diri dari negara itu.
Kumpulan pembangkang memasuki Damsyik dan mengisytiharkan berakhirnya pemerintahan Assad, menyaksikan penduduk turun ke jalan raya untuk meraikannya.
Perdana Menteri Syria, Mohammed Ghazi al-Jalali berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana kepimpinan yang dipilih oleh rakyat, serta proses penyerahan kuasa secara aman. – Agensi / HARAKAHDAILY 9/12/2024











