Hujan lebat tahap buruk, ribut petir hari ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka berlaku di negeri Sabah dan Sarawak hingga 7 malam.

- Advertisement -

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan ribut petir dijangka melanda Sarawak membabitkan Betong, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang.

Situasi sama diramalkan berlaku di pedalaman Sabah (Sipitang,Tenom, Kuala Penyu dan Beufort) dan Pantai Barat (Tuaran dan Kota Belud).

Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat tahap buruk dan waspada di tujuh negeri termasuk di Pantai Timur yang diramal berlaku hingga Rabu ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan pagi tadi, hujan lebat berterusan tahap buruk diramal melanda lima daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan, Jerantut, Maran dan Rompin selain Kemaman dan Dungun di Terengganu.

Seluruh Kelantan dan Perlis pula diramal mengalami hujan berterusan tahap waspada dalam tempoh masa sama, selain cuaca itu juga dijangka di Hulu Perak, Perak dan Kedah melibatkan Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Turut dijangka mengalami cuaca itu ialah Pahang di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera; Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang) serta Johor (Segamat, Mersing dan Kota Tinggi) – HARAKAHDAILY 9/12/2024

- Advertisement -