Takiyuddin kemuka usul bincang isu Titah Adendum

Dewan Rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk membincangkan isu Titah Adendum terhadap bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak.

- Advertisement -

Menerusi surat bertarikh 9 Disember itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS memohon kebenaran berkenaan di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (2), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau memohon Dewan merundingkan wujud atau tidak Titah Adendum yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 menitahkan Dato’ Sri Najib menjalani baki hukuman menerusi penahanan dalam rumah dan pendirian kerajaan mengenai pelaksanaan titah itu.

Katanya, perbahasan itu penting bagi semua pihak mengetahui sama ada wujud atau tidak perkara berkenaan, ditambah pula tular di media sosial Titah Andendum bertarikh 29 Januari 2024 yang ditujukan kepada Peguam Negara.

“Pihak kerajaan selama ini tidak pernah secara jelas dan tanpa was-was menafikan mahupun mengesahkan kewujudan titah tersebut apabila disoal sama ada di dalam mahupun di luar Dewan Rakyat.

“Datuk Mohamad Nizar Najib telah mengikrarkan afidavit menyatakan pada 17 Ogos 204, beliau dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang juga Sultan Pahang, satu Titah Adendum seperti yang diserahkan Baginda kepada Lembaga Pengampunan pada 29 Januari 2014 di Istana Negara.

“Pada 2 Disember lalu, Mohamad Nizar telah diperkenankan Sultan Pahang menggunakan dokumen tersebut untuk tujuan di mahkamah. Perkara ini tertentu kerana ia keputusan petisyen pengampunan Dato’ Sri Najib dan pelaksanaan Titah Adendum mengenainya.

“Perkara ini berkepentingan orang awam kerana kegagalan melaksanakan apa-apa titah Yang di-Pertuan Agong merupakan satu penderhakaan yang boleh mengakibatkan krisis Perlembagaan,” katanya menerusi surat usul itu.

Menurutnya lagi, perkara itu perlu disegerakan kerana Najib tidak sepatut diperjarakan lagi selagi beliau ditahan di rumah selari dengan titah berkenaan.

“Ia suatu penahanan salah dan tidak sah di sisi undang-undang, ia perlu diberikan tindakan segera,” katanya.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 71 sedang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan bersalah atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib.

Namun, hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun penjara, manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 September 2022. – HARAKAHDAILY 9/12/2024

- Advertisement -