
ALHAMDULILLAH segala puji bagi Allah yang telah menurunkan rahmat-Nya dengan meredakan banjir di tempat-tempat yang terjejas teruk baru-baru ini. Beberapa hari lalu, semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diumumkan penutupannya secara rasmi, maka yang tinggal sekarang ialah sesi membersih kediaman pula walaupun ada tempat yang belum kering sepenuhnya.
Inilah proses kerja-kerja bencana banjir, selepas ada sesetengahnya terancam nyawa, ia kemudiannya proses mencuci lumpur-lumpur dan adakalanya melihat dengan tangis harta benda yang musnah, tidak sempat diselamatkan, terutama dalam kes banjir mengejut. Juga tidak lupa fenomena air termenung yang mungkin boleh membawa isu kesihatan. Penat, kecewa, sedih tuan rumah, perasaan yang difahami oleh petugas PAS.
PAS dengan rakan kongsi badan bukan kerajaan (NGO), telah terlibat dalam proses pengurusan banjir ini semenjak puluhan tahun dahulu lagi. Maka mereka tahu dan sedar yang bukan sekadar menyelamat atau memberi bantuan makan dan minum ini sahaja, maka selesailah kerja-kerja banjir, tidak ia jauh lagi perjalanannya. Dan kerja membersih ini jauh lebih memenatkan.


Tiada organisasi sukarela tersusun seperti PAS
Kerja-kerja membantu tuan rumah membersih ini amat jarang mahu dilakukan oleh orang lain yang mungkin sibuk dengan kerja atau tidak tahu ia wujud. Mungkin fikir mereka, bantuan hanyalah masa banjir sahaja. PAS dengan NGO, majoritinya bersama pimpinan PAS, akan mengatur dan mengkhususkan cuti mereka bagi kerja-kerja amal ini. Mereka bekerja sampai malam, ia adalah suatu kebiasaan.
Bagi pembenci PAS yang tidak tahu dosa pahala memfitnah PAS pada awal musibah banjir itu, pada waktu ini biasanya mereka akan senyap atau akan mengalihkan isu-isu lain sebab mereka tahu mereka tidak mampu melakukannya dan rakyat memerhatikan PAS yang dengan susah payah membantu. Sekurang-kurangnya dengan mengalih isu, rakyat akan berpaling dari melihat kerja-kerja kebajikan PAS ini.
Cubalah cari organisasi yang membantu mangsa-mangsa pasca banjir secara besar-besaran dan berterusan secara tersusun. Hampir tiada, atau barangkali kalau adapun, hanya dihujung minggu dan rumah-rumah terpilih seperti rumah rakan-rakan mereka sahaja. Manakala PAS tegar membantu, walaupun rumah itu rumah musuhnya yang sekarang ini masih menyiksa PAS dan petugas PAS tetap membantu tanpa upah.


Pemimpin PAS turut sama berlumur lumpur
Ia sesekali tidak mengubah niat membantu mangsa, malah makin bersemangat apabila mengetahui rumah mangsa ialah rumah parti lawan. Pahala yang Allah kurniakan dengan mengenepikan dendam insyaallah akan lebih besar lagi. Inilah ketaatan ahli PAS kepada pimpinan yang mana pimpinan PAS turut bergelumang dengan selut bersama-sama, tidak hanya mengarah yang tidak wujud dalam gerakan lain, kecuali diberi upah.
Paling disebut pastinya Jabatan Amal, produk Dewan Pemuda PAS Malaysia, telah membuktikan khidmat mereka sangat berbaloi, profesional dan benar-benar membantu mangsa selain daripada sayap PAS yang lain seperti Dewan Ulamak, Muslimat, DHPP dan juga Ameerah. Rumah orang Islam dan bukan Islam, sama sahaja mereka kerjakan.
Tiada laporan kehilangan barang kerana mereka mencuri atau apa-apa rekod buruk. Yang ada adalah amanah dan rasa gembira apabila menggembirakan orang lain. Tidak akan jatuh dengan fitnah insyaaAllah kerana Jabatan Amal sayap kesayangan PAS dan masyarakat ini akan terus berdiri demi berbakti.
Musuh PAS, terutamanya yang pernah bersama dengan pasti, tidak dapat berbohong pada diri sendiri, mereka pasti rindu kerja-kerja amal sebegini sewaktu bersama PAS dahulu. Yang tidak pernah bersama PAS, mereka pula merasa dengki, kerana tidak mahu atau mampu melakukan seperti PAS. Jadi mereka hanya berupaya menembak PAS dengan muncung mulut dan jari jemari mereka sahaja untuk menghapuskan kebaikan PAS.
MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 9/12/2024



PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











