
GUA MUSANG: Kerajaan Negeri Kelantan komited memastikan kerja-kerja baik pulih runtuhan jalan di Kampung Jerek, di sini akibat hujan lebat yang berlaku sebelum ini dilaksanakan segera.
Ia bagi memastikan kemudahan asas dapat dinikmati semula oleh penduduk di laluan tersebut.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerja-kerja awal kini sedang digerakkan oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, termasuk pembinaan jalan lencongan sementara.
“Kerajaan negeri amat memahami kesukaran yang dihadapi oleh penduduk setempat akibat runtuhan ini.
“Oleh itu, usaha awal telah dilakukan dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya di Facebook selepas meninjau lokasi runtuhan pagi tadi.

Beliau berharap semua pihak mendoakan supaya usaha ini dipermudahkan demi kesejahteraan rakyat Kelantan.
Beliau turut memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan bertanggungjawab dalam pelaksanaan baik pulih menyeluruh sebaik sahaja jalan lencongan sementara selesai dibina.
Tambahnya, kerja baik pulih ini adalah sebahagian daripada langkah Kerajaan Kelantan untuk menangani kesan kerosakan akibat cuaca buruk yang melanda beberapa kawasan di Kelantan baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 9/12/2024












